YOHANES 13:12-26
YOHANES 13:12-26 BM
Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil Aku Guru dan Tuhan. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Guru kamu, sudah membasuh kaki kamu, maka kamu wajib saling membasuh kaki. Aku sudah memberikan teladan kepada kamu semua, supaya kamu juga melakukan apa yang sudah Aku lakukan untuk kamu. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya. Seorang utusan tidak lebih penting daripada orang yang mengutusnya. Jika kamu mengetahui hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya. Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, “Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot.