MAZMUR 44
44
Doa Minta Perlindungan
1Mazmur puak Korah. Sajak. Untuk pemimpin koir.
2Ya Allah, kami sendiri telah mendengar
kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami,
tentang perbuatan besar yang Engkau lakukan
pada zaman dahulu kala.
3Engkau sendiri mengusir bangsa-bangsa
supaya umat-Mu menetap di negeri mereka;
Engkau mencelakakan bangsa-bangsa lain,
tetapi menjadikan umat-Mu makmur.
4Mereka tidak menakluki negeri ini dengan pedang;
mereka tidak menang dengan kuasa mereka sendiri,
tetapi dengan kuasa dan kekuatan serta hadirat-Mu,
kerana Engkau berkenan kepada umat-Mu.
5Engkaulah Rajaku dan Allahku;
Engkau memberikan kemenangan kepada umat-Mu.
6Dengan kuasa-Mu kami mengalahkan musuh kami,
dan menakluki orang yang menyerang kami.
7Aku tidak bergantung kepada busur,
atau pedang untuk menyelamatkan diri,
8kerana Engkaulah yang menyelamatkan kami,
dan mengalahkan mereka yang membenci kami.
9Kami akan sentiasa memuji Engkau
dan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.
10Tetapi sekarang, ya Allah, Engkau meninggalkan kami
dan membiarkan kami dikalahkan;
Engkau tidak lagi maju bersama dengan tentera kami.
11Engkau membuat kami lari daripada musuh,
dan mereka merampas segala harta kami.
12Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba,
Engkau mencerai-beraikan kami ke negeri asing.
13Engkau menjual umat-Mu dengan harga yang murah,
tanpa mendapat keuntungan apa-apa.
14Engkau menjadikan kami ejekan jiran kami;
mereka mengolok-olokkan dan mentertawakan kami.
15Engkau menjadikan kami ejekan bangsa-bangsa;
mereka menggelengkan kepala dan mengumpat kami.
16Sepanjang hari aku dihina,
dan diliputi perasaan malu,
17kerana mendengar sindiran dan hinaan
yang dilemparkan oleh musuh dan pendendam.
18Semuanya menimpa kami
walaupun kami tidak melupakan Engkau,
ataupun memungkiri perjanjian-Mu dengan kami.
19Kami tidak pernah melawan Engkau;
kami tidak pernah melanggar perintah-Mu.
20Tetapi Engkau meninggalkan kami yang lemah dengan binatang liar;
Engkau meninggalkan kami dalam kegelapan yang gelita.
21Jika kami berhenti menyembah Allah kami,
lalu menyembah tuhan lain,
22tentu Engkau akan mengetahuinya,
kerana Engkau mengetahui rahsia hati manusia.
23 Tetapi kerana Engkau, kami diancam maut setiap masa,
kami diperlakukan seperti domba sembelihan.
24Bangunlah, ya Tuhan! Mengapakah Engkau tidur?
Bangkitlah! Jangan tolak kami selama-lamanya!
25Mengapakah Engkau menyembunyikan diri?
Jangan lupakan penderitaan dan kesusahan kami!
26Kami jatuh hancur di tanah,
dan terbaring di atas debu kerana kalah.
27Bangkitlah dan tolonglah kami!
Kerana kasih-Mu itu, selamatkanlah kami!
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.