MAZMUR 115
115
Allah yang Esa
1Bukan kami, ya TUHAN, bukan kami,
tetapi Engkau sahaja yang harus dimuliakan dan dipuji,
kerana Engkau setia dan tetap mengasihi kami.
2Mengapakah bangsa-bangsa bertanya,
“Di manakah Allah mereka?”
3Allah kami ada di syurga;
Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
4Berhala-berhala mereka dibuat daripada perak dan emas,
dibentuk oleh tangan manusia.
5Berhala-berhala itu mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap,
mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat,
6mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar,
mempunyai hidung tetapi tidak dapat menghidu,
7mempunyai tangan tetapi tidak dapat meraba,
mempunyai kaki tetapi tidak dapat berjalan;
berhala-berhala itu tidak dapat bersuara.
8 Biarlah semua orang yang membuat berhala,
dan yang percaya kepada berhala,
menjadi seperti berhala yang dibuat mereka.
9Percayalah kepada TUHAN,
hai umat Israel.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
10Percayalah kepada TUHAN,
hai imam-imam Allah.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
11Percayalah kepada TUHAN,
hai semua orang yang menyembah Dia.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
12TUHAN mengingati kita dan akan memberkati kita;
Dia akan memberkati umat Israel
dan semua imam Allah.
13 Dia akan memberkati semua orang yang menghormati Dia;
baik orang besar mahupun orang biasa.
14Semoga TUHAN menganugerahkan anak-anak
kepada kamu dan keturunan kamu.
15Semoga kamu diberkati TUHAN,
yang menjadikan langit dan bumi.
16Syurga adalah kepunyaan TUHAN sahaja,
tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia.
17TUHAN tidak dipuji oleh orang mati,
orang yang sudah turun ke alam yang sunyi.
18Tetapi kita yang hidup bersyukur kepada-Nya,
sekarang dan selama-lamanya.
Pujilah TUHAN!
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.