KEJADIAN 48:8-16

KEJADIAN 48:8-16 BM

Apabila Yakub nampak anak-anak lelaki Yusuf itu, dia bertanya, “Siapakah anak-anak ini?” Yusuf menjawab, “Inilah anak-anakku yang diberikan Allah kepadaku di sini, di Mesir.” Yakub berkata, “Bawalah mereka mendekati aku supaya aku memberkati mereka.” Yakub kabur mata kerana sudah tua, dan dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan anak-anak itu kepada Yakub, lalu Yakub memeluk dan mencium mereka. Kemudian Yakub berkata kepada Yusuf, “Aku tidak sangka dapat berjumpa dengan kamu lagi, tetapi kini Allah mengizinkan aku nampak anak-anakmu juga.” Selepas itu Yusuf mengambil mereka dari pangkuan Yakub, lalu Yusuf bersujud di hadapan bapanya. Kemudian Yusuf menempatkan anak-anaknya dekat Yakub. Efraim, yang bongsu ditempatkannya di sebelah kiri, dan Manasye yang sulung di sebelah kanan. Tetapi Yakub menyilangkan lengannya dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, sedangkan tangan kirinya diletakkannya di atas kepala Manasye. Kemudian Yakub memberkati Yusuf, “Semoga Allah yang disembah oleh nenek moyangku Abraham dan Ishak, memberkati anak-anak ini. Semoga Allah yang membimbing aku sampai sekarang, memberkati mereka. Semoga malaikat yang sudah melepaskan aku daripada segala bahaya, memberkati mereka. Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak tetap hidup kerana anak-anak ini! Semoga mereka mempunyai anak cucu dan keturunan yang banyak di bumi ini.”