2 RAJA-RAJA 24
24
1 Pada masa pemerintahan Raja Yoyakim, Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Yehuda. Selama tiga tahun Raja Yoyakim terpaksa tunduk kepada Raja Nebukadnezar, tetapi kemudian Raja Yoyakim memberontak. 2TUHAN mengirim gerombolan bersenjata dari Babilonia, Siria, Moab, dan Amon untuk menentang Raja Yoyakim serta memusnahkan Yehuda. Hal itulah yang telah difirmankan TUHAN melalui para nabi-Nya. 3Kejadian ini berlaku atas perintah TUHAN, untuk membuang penduduk Yehuda dari negeri yang diberikan-Nya kepada mereka, kerana segala dosa Raja Manasye, 4terutama sekali pembunuhan semua orang yang tidak berdosa. TUHAN tidak dapat mengampuni Raja Manasye kerana perbuatan baginda itu.
5Segala perbuatan Raja Yoyakim tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 6Raja Yoyakim mangkat, lalu Yoyakhin, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja.
7Sejak itu raja Mesir dan tentera baginda tidak lagi keluar dari Mesir untuk berperang, kerana pada masa itu raja Babilonia telah menguasai seluruh wilayah yang dahulu dikuasai Mesir, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan utara negeri Mesir.
Raja Yoyakhin, Raja Yehuda
(2 Taw 36.9-10)
8Raja Yoyakhin berusia lapan belas tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Bonda baginda bernama Nehusta anak Elnatan dari Yerusalem. 9Raja Yoyakhin juga berdosa terhadap TUHAN, seperti yang dilakukan oleh ayahanda baginda.
10Pada masa pemerintahan Raja Yoyakhin, tentera Babilonia yang dipimpin oleh para pegawai Raja Nebukadnezar menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu. 11Raja Nebukadnezar sendiri datang ke Yerusalem semasa pengepungan itu, 12 lalu Raja Yoyakhin bersama-sama bonda baginda, putera-puteri baginda, para pegawai baginda, dan para pegawai istana baginda menyerah kepada orang Babilonia, lalu Raja Yoyakhin ditawan. Peristiwa ini berlaku pada tahun kelapan pemerintahan Raja Nebukadnezar. 13Raja Nebukadnezar membawa harta di Rumah TUHAN dan di istana ke Babel. Sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, Raja Nebukadnezar menghancurkan semua perkakas emas yang dibuat oleh Raja Salomo untuk digunakan di Rumah TUHAN. 14Raja Nebukadnezar mengangkut penduduk Yerusalem, termasuk anak-anak raja dan para pemimpin rakyat sebagai tawanan ke pembuangan - 10,000 orang kesemuanya. Raja Nebukadnezar juga mengangkut semua tukang yang mahir dan tukang besi, tetapi meninggalkan rakyat jelata yang paling miskin di Yehuda.
15 Raja Nebukadnezar membawa Raja Yoyakhin, bonda baginda, isteri-isteri baginda, para pegawai baginda, dan semua orang terkemuka di Yehuda, sebagai tawanan ke Babel. 16Raja Nebukadnezar membuang semua orang yang perkasa ke Babilonia, sebanyak 7,000 orang; dan juga 1,000 orang tukang yang mahir, termasuk tukang besi. Mereka semua orang yang kuat dan dapat berperang.
17 Raja Nebukadnezar melantik Matanya, bapa saudara Raja Yoyakhin, menjadi raja Yehuda, dan menukar namanya menjadi Zedekia.
Raja Zedekia, Raja Yehuda
(2 Taw 36.11-12; Yer 52.1-3a)
18 Raja Zedekia berusia dua puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Bonda baginda bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna. 19Raja Zedekia berdosa terhadap TUHAN seperti Raja Yoyakim dahulu. 20 TUHAN begitu murka terhadap penduduk Yerusalem dan Yehuda sehingga Dia tidak lagi mempedulikan mereka.
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.