2 RAJA-RAJA 22

22
Raja Yosia, Raja Yehuda
(2 Taw 34.1-2)
1 Raja Yosia berusia lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Bonda baginda bernama Yedida anak Adaya dari kota Bozkat. 2Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyang baginda, Raja Daud, yang taat setia kepada semua hukum Allah.
Kitab Taurat Dijumpai Semula
(2 Taw 34.8-28)
3Pada tahun kelapan belas pemerintahan baginda, Raja Yosia menyuruh setiausaha istana, Safan anak Azalya, iaitu cucu Mesulam, pergi ke Rumah TUHAN. Raja Yosia bertitah, 4“Pergilah kepada Imam Agung Hilkia, dan mintalah laporan daripadanya tentang jumlah wang daripada rakyat yang diterima oleh para imam yang bertugas di pintu Rumah TUHAN. 5Suruhlah dia memberikan wang itu kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di Rumah TUHAN. Para pengawas itu harus membayar upah 6para tukang kayu, jurubina, dan tukang batu, serta membeli kayu dan batu yang diperlukan. 7 Para pengawas pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak usah memberikan laporan kewangan.”
8Safan menyampaikan titah raja kepada Hilkia, dan Hilkia memberitahu Safan bahawa dia telah menemukan kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN. Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan, lalu Safan membacanya. 9Kemudian Safan kembali dan memberikan laporan kepada raja, katanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di situ.” 10Katanya lagi, “Lihatlah kitab ini yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja.
11Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaian baginda kerana dukacita. 12Baginda bertitah kepada Imam Hilkia, kepada Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, Safan, iaitu setiausaha istana, dan kepada Asaya, iaitu ajutan raja, 13“Pergilah meminta petunjuk daripada TUHAN bagi beta dan bagi segenap penduduk Yehuda tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka kepada kita kerana nenek moyang kita tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.”
14Hilkia, Ahikam, Akhbor, Safan, dan Asaya pergi meminta petunjuk daripada seorang perempuan bernama Hulda. Dia seorang nabi perempuan yang tinggal di perkampungan baru di Yerusalem. Suaminya, Salum anak Tikwa, cucu Harhas, ialah pengurus pakaian ibadat di Rumah TUHAN. Mereka menceritakan apa yang telah terjadi itu kepada Hulda. 15Kemudian Hulda menyuruh mereka kembali kepada raja dan menyampaikan 16firman TUHAN demikian, “Aku akan menghukum Yerusalem serta semua penduduknya sebagaimana yang tertulis di dalam kitab yang dibaca oleh raja. 17Mereka telah menolak Aku dan telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku kerana segala perbuatan mereka. Sekarang Aku murka terhadap Yerusalem, dan kemurkaan-Ku tidak akan reda. 18Tetapi tentang Raja Yosia, demikianlah firman TUHAN, Allah Israel: Engkau telah memperhatikan kandungan kitab itu, 19lalu engkau bertaubat serta merendahkan dirimu di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaianmu serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku terhadap Yerusalem dan penduduknya. Aku akan menghukum Yerusalem dengan dahsyat sehingga namanya akan menjadi satu kutukan, tetapi Aku telah mendengar doamu. 20Oleh itu, perkara yang akan Kulakukan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.”
Para utusan itu kembali kepada Raja Yosia dengan berita itu.

目前选定:

2 RAJA-RAJA 22: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录