Logotip YouVersion
Search Icon

Kejadian 3

3
Terjerumuslah manusia ke dalam dosa
1 # Keb 2:24; Why 12:9; 20:2. Ular memang lebih licik daripada mana-mana haiwan liar lain yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu berkata kepada perempuan itu, “Adakah Allah benar-benar berfirman, ‘Jangan kamu makan buah daripada mana-mana pun pokok di dalam taman ini’?”
2Perempuan itu berkata kepada ular itu, “Kami boleh memakan buah daripada pokok-pokok di dalam taman ini, 3tetapi dalam hal buah daripada pokok yang berada di tengah-tengah taman ini, Allah berfirman, ‘Janganlah kamu makan buah itu malah jangan kamu menyentuhnya, supaya jangan kamu mati.’ ”
4Berkatalah ular kepada perempuan itu, “Kamu pasti tidak akan mati. 5Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terbukalah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat.”
6Apabila perempuan itu melihat bahawa buah pokok itu bagus sebagai makanan dan nampak sedap, apatah lagi buah itu mampu membuat seseorang menjadi bijaksana, dia pun mengambilnya lalu memakannya. Dia juga memberikan buah itu kepada suaminya yang bersama-samanya, dan suaminya juga memakannya. 7Maka terbukalah mata kedua-duanya dan sedarlah mereka bahawa mereka bertelanjang lantas mereka membuat cawat penutup aurat daripada dedaun pokok ara.
8Terdengar kepada mereka suara TUHAN Allah yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat TUHAN Allah di antara pokok di dalam taman. 9Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?”
10Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman lalu aku menjadi takut kerana aku dalam keadaan telanjang. Jadi aku pun bersembunyi.”
11Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?”
12Jawab manusia itu, “Perempuan yang Kautempatkan bersama-samaku itulah yang memberikan kepadaku buah daripada pokok itu, maka aku memakan buah itu.”
13 # 2Kor 11:3; 1Tim 2:14. TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Apa yang telah kamu lakukan?” Jawab perempuan itu, “Ular itu menipu aku sehingga aku memakan buah itu.”
14Maka berfirmanlah TUHAN Allah kepada ular itu,
“Atas sebab perbuatan engkau itu,
terkutuklah engkau melebihi segala haiwan ternakan dan binatang liar.
Engkau akan menjalar dengan perutmu
dan engkau akan makan debu tanah seumur hidupmu.
15 # Why 12:17. Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dengan perempuan ini,
dan antara keturunanmu dengan keturunannya.
Keturunannya akan meremukkan kepalamu,
dan kamu akan meremukkan tumitnya.”
16Firman-Nya kepada perempuan itu,
“Aku akan melipatgandakan kesakitan
dan kesusahanmu semasa engkau melahirkan anak.
Namun begitu, kamu tetap akan mengingini suamimu,
dan dia akan berkuasa ke atasmu.”
17 # Ibr 6:8. Firman-Nya kepada Adam, “Kerana engkau menurut kata isterimu lalu memakan buah daripada pokok yang telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Jangan engkau makan buahnya,’
maka terkutuklah tanah kerana kau.
Engkau akan bersusah payah mengerjakan tanah
dan memakan hasilnya, seumur hidupmu.
18Tanah akan menumbuhkan duri dan onak untukmu,
dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu.
19Hasil keringatmu itulah engkau kelak mendapatkan rezekimu
sehingga kembalinya engkau menjadi tanah,
kerana dari tanahlah engkau diambil.
Oleh sebab asalmu debu,
maka engkau kelak kembali menjadi debu.”
20Lalu manusia#3:20 ‘Manusia’ merujuk kepada Adam. menamai isterinya Hawa#3:20 Hawa: Dlm bhs Ibr nama ini bererti ‘hidup.’, kerana dia ialah ibu kepada semua yang hidup. 21TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam serta isterinya itu, lalu memakaikannya kepada mereka.
22 # Why 22:14. Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Lihatlah, betapa manusia itu sudah menjadi seperti satu daripada Kita, yang tahu tentang perkara yang baik dan yang jahat. Haruslah dia dihindarkan daripada mengambil pula dengan tangannya daripada buah pokok hayat itu lalu memakannya, sehingga dia hidup untuk selama-lamanya.” 23Lalu TUHAN Allah menyuruh manusia itu keluar dari Taman Eden untuk mengerjakan tanah iaitu sumber jasadnya.
24Lalu Dia mengenyahkan#3:24 ‘Mengenyahkan’ dari kata dasar, ‘nyah’ bererti ‘menghalau.’ manusia itu keluar, dan di sebelah timur Taman Eden ditempatkan-Nya dua malaikat kerubin#3:24 Malaikat kerubin: Golongan malaikat yang melambangkan hadirat dan keagungan Allah. serta sebilah pedang yang bernyala-nyala dan berputar ke segala arah untuk mengawal jalan menuju kepada pokok hayat itu.

Currently Selected:

Kejadian 3: AVB

Označeno

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in