Kejadian 16
16
Kelahiran Ismael
1Sarai, isteri Abram, masih belum melahirkan anak bagi Abram. Tetapi dia mempunyai seorang hamba perempuan, orang Mesir bernama Hagar. 2Maka kata Sarai kepada Abram, “Kerana TUHAN telah menahan aku daripada mengandungkan anak, kahwin sajalah dengan hambaku, siapa tahu aku dapat memperoleh anak melaluinya.” Maka Abram mendengar dan menurut usul Sarai itu. 3Lalu Sarai isteri Abram membawa Hagar, warga Mesir yang menjadi hambanya itu, dan memberikannya kepada Abram suaminya untuk menjadi isterinya. Pada waktu itu sudah sepuluh tahun lamanya Abram tinggal di Tanah Kanaan. 4Abram pun meniduri Hagar, lalu mengandunglah perempuan itu. Apabila Hagar tahu sahaja bahawa dia mengandung, mulalah dia memandang rendah terhadap cik puannya.
5Lalu Sarai berkata kepada Abram, “Penghinaan yang kudapat ini ialah tanggungmu! Aku memberikan hambaku ke pangkuanmu, tetapi ketika dia tahu bahawa dia mengandung, dia memandang rendah terhadapku. Semoga TUHAN menjadi Hakim antara aku dengan kamu.”
6Kata Abram kepada Sarai, “Sesungguhnya, hambamu itu berada bawah kekuasaanmu. Lakukanlah terhadapnya mengikut budi bicaramu.” Maka Sarai menindas Hagar sehingga larilah Hagar daripadanya.
7Malaikat TUHAN menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun itu, iaitu berdekatan mata air di jalan yang menuju ke Syur. 8Sabdanya, “Wahai Hagar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?”
Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.”
9Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah di bawah kuasanya.” 10Sabda malaikat TUHAN pula kepadanya, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi tersangat ramai hingga tidak terhitung banyaknya.” 11Selanjutnya malaikat TUHAN bersabda kepadanya,
“Kamu sedang mengandung
dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki.
Namailah dia Ismael,#16:11 Dlm bhs Ibrani nama, ‘Ismael’ bererti ‘Allah mendengar’ (lihat juga Kej. 17:20, 21:17).
kerana TUHAN telah mendengar jeritan kesusahanmu.
12Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar.
Tangannya akan melawan setiap orang,
dan tangan setiap orang akan melawan dia.
Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.”
13Lalu Hagar menyebut nama TUHAN yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Allah Yang Melihat,” kerana katanya, “Sesungguhnya, aku nampak Dia yang melihat aku.” 14Itulah sebabnya perigi itu, yang letaknya di antara Kadesh dengan Bered, disebut Perigi Lahai-Roi.#16:14 Dlm bhs Ibrani nama ‘Lahai Roi’ bererti ‘Dia yang hidup, yang memperhatikan aku.’
15 # Gal 4:22. Maka Hagar melahirkan seorang anak lelaki bagi Abram yang menamai anaknya yang dilahirkan oleh Hagar itu Ismael. 16Dan Abram berumur 86 tahun pada waktu Hagar melahirkan Ismael.
Currently Selected:
Kejadian 16: AVB
Označeno
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited