ROMA 8:26-34
Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia. Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain? Siapakah berani menuduh kita, umat yang sudah dipilih oleh Allah? Tiada seorang pun, kerana Allah sendiri menyatakan kita tidak bersalah. Siapakah dapat menyalahkan kita? Tiada seorang pun, kerana Kristus Yesus membela kita! Dialah yang sudah mati, bahkan sudah dibangkitkan daripada kematian dan berada di sebelah kanan Allah.
ROMA 8:26-34