MAZMUR 18:1-32
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya. Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN! Engkaulah pembelaku. TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku. Bahaya maut mengelilingi aku, banjir kebinasaan menggenangi aku. Bahaya maut mengelilingi aku, dan kubur memasang perangkap untukku. Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku. Kemudian bumi bergempa dan bergoncang; tapak gunung bergoyang dan bergegar, kerana Allah murka. Asap berhembus dari hidung-Nya, api dan bara keluar dari mulut-Nya. Dia membelah langit lalu turun dengan awan gelap di bawah kaki-Nya. Dia terbang laju dengan mengenderai kerub; Dia melayang di atas sayap angin. Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan; awan mendung yang tebal mengelilingi Dia. Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya, menembusi awan yang tebal itu. Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa; dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya. Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya; Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari. Dasar lautan tersingkap, dan asas bumi terdedah, ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN, dan bertempik dengan murka terhadap mereka. Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya, Dia memegang aku, lalu menarik aku keluar dari air yang dalam. Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat, dan daripada mereka yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku. Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku, tetapi TUHAN melindungi aku. Dia melepaskan aku daripada bahaya; Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku. TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah. Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku. Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya. Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan. Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah. Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik. Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat. Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong. Engkau memberikan cahaya kepadaku; TUHAN Allahku menerangi kegelapanku. Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka. Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya. TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita.
MAZMUR 18:1-32