MAZMUR 119:1-176
Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN. Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati. Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN. Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia. Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu. Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan. Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni. Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku! Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu. Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu. Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu. Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan. Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan. Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu. Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu. Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu. Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku. Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah. Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup. Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu. Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu. Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu. Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu. Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar. Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya. Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu. Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu. Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu. Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu. Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu. Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi. Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti. Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta. Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil. Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu. Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati. Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku. Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan. Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu. Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil. Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu. Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku. Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku. Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.
MAZMUR 119:1-176