YESAYA 43:18-25
Tetapi TUHAN berfirman, “Jangan ingat akan peristiwa lalu, jangan kenang perkara yang sudah-sudah. Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan. Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun, dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir. Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku, serigala dan burung unta akan memuji Aku apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun, untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku. Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.” TUHAN berfirman, “Namun hai Israel, kamu telah bosan dengan Aku, kamu tidak lagi menyembah Aku. Kamu tidak membawa domba sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku; kamu tidak menghormati Aku dengan korban yang kamu persembahkan. Padahal Aku tidak membebani kamu dengan meminta persembahan atau menyusahkan kamu dengan menuntut kemenyan. Kamu tidak membeli dupa harum bagi-Ku, ataupun memuaskan Aku dengan lemak binatang yang kamu persembahkan. Sebaliknya kamu membebani Aku dengan dosa kamu; kamu menyusahkan Aku dengan kesalahan kamu. Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu.
YESAYA 43:18-25