KISAH RASUL-RASUL 4:12-22
Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.” Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.
KISAH RASUL-RASUL 4:12-22