1 PETRUS 3:13-22
Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu. Lebih baik menanggung penderitaan kerana berbuat baik, jika hal itu memang kehendak Allah, daripada menanggung penderitaan kerana berbuat jahat. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri mati sekali sahaja dan untuk selama-lamanya, supaya dosa kita diampunkan. Dia tidak bersalah tetapi mati untuk orang yang bersalah, supaya Dia boleh memimpin kamu kepada Allah. Dia dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani. Dalam keadaan roh Dia pergi mengisytiharkan berita daripada Allah kepada roh-roh yang dipenjarakan, iaitu roh-roh orang yang tidak taat kepada Allah ketika Allah menantikan mereka dengan sabar pada masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang di bahtera itu, dan mereka diselamatkan oleh air bah itu. Air bah itu melambangkan baptisan yang sekarang ini menyelamatkan kamu. Baptisan ini bukanlah pembasuhan kotoran daripada tubuh, tetapi janji kamu kepada Allah daripada hati nurani yang baik. Baptisan ini menyelamatkan kamu kerana Yesus Kristus sudah bangkit daripada kematian, dan sudah naik ke syurga. Sekarang Dia di sebelah kanan Allah dan memerintah semua malaikat, penguasa, dan pemerintah di langit.
1 PETRUS 3:13-22