ZEFANYA 3:9-20

ZEFANYA 3:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku. Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku. Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci. Orang yang hina dan yang rendah hati akan Kubiarkan tinggal di sana. Mereka akan datang meminta tolong kepada-Ku. Orang Israel yang terselamat tidak akan berbuat jahat kepada sesiapa pun; mereka tidak akan berdusta dan tidak menipu. Mereka akan makmur dan aman; mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun.” Hai umat Israel, hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi! Hai penduduk Yerusalem, hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati! TUHAN sudah berhenti menghukum kamu; Dia telah mengusir semua musuh kamu. TUHAN, raja Israel, menyertai kamu; tiada lagi yang menakutkan kamu. Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem, “Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; kamu menang kerana kuasa-Nya. TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira, seperti orang yang sedang berpesta.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana; Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina. Masanya akan tiba; Aku akan menghukum penindas kamu. Aku menyelamatkan orang tempang, dan membawa pulang orang yang dibuang. Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka, sehingga di seluruh dunia, mereka tidak lagi dihina. Masanya akan tiba; Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai; Aku akan menjadikan kamu termashyur di seluruh bumi, dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.” TUHAN telah berfirman.

ZEFANYA 3:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Sungguh, pada waktu itu Aku akan mengubah bibir bangsa-bangsa menjadi bersih, supaya mereka semua dapat menyeru nama TUHAN dan beribadat kepada-Nya dengan satu tekad. Dari seberang sungai-sungai Kush, kalangan yang berdoa kepada-Ku, iaitu para umat-Ku yang tercerai-berai, akan membawa persembahan kepada-Ku. Pada hari itu engkau tidak akan diaibkan lagi oleh segala perbuatanmu yang derhaka terhadap Aku. Pada waktu itu Aku akan menyingkirkan daripada tengah-tengahmu kalangan yang amat gembira dengan sifat riak mereka. Engkau tidak akan menyombong lagi di atas gunung-Ku yang suci. Aku akan meninggalkan di tengah-tengahmu kalangan umat yang rendah hati dan lemah. Mereka akan berlindung dalam nama TUHAN. Saki-baki orang Israel tidak akan melakukan kezaliman dan tidak akan berkata dusta. Lidah tipu daya tidak akan didapati di dalam mulut mereka. Sungguh, mereka akan makan lalu berbaring tanpa ada yang mampu menakut-nakutkan mereka.” Bersorak-sorailah, wahai puteri Sion! Bersoraklah dengan gembira, wahai Israel! Bersukacitalah dan bersuka rialah dengan seluruh hatimu, wahai puteri Yerusalem! TUHAN telah menyingkirkan hukumanmu, dan Dia telah melenyapkan musuhmu. Raja Israel, iaitu TUHAN, hadir di tengah-tengahmu, engkau tidak akan takut lagi kepada malapetaka. Pada hari itu akan dikatakan kepada Yerusalem, “Jangan takut, wahai Sion! Jangan biarkan tanganmu lemah. TUHAN, Allahmu, hadir di tengah-tengahmu seperti kesateria pembawa kemenangan. Dengan penuh sukacita Dia akan bergirang kerana engkau, dan tenang berdiam kerana kasih-Nya. Dengan sorak-sorai Dia akan bergembira kerana engkau.” “Aku akan mengumpulkan umat yang berasal daripadamu, yang pilu mengenangkan hari perayaan yang telah menanggung beban celaan. Sesungguhnya, pada waktu itu Aku akan bertindak terhadap semua yang menindas engkau. Aku akan menyelamatkan yang tempang dan mengumpulkan yang terbuang. Rasa aib mereka akan Kuganti dengan puji-pujian dan kemasyhuran di seluruh bumi. Pada waktu itu Aku akan membawa kamu pulang, iaitu pada waktu Aku mengumpulkan kamu. Aku akan menjadikan kamu termasyhur dan terpuji di antara segala bangsa di bumi pada waktu Aku memulihkan keadaanmu di hadapan matamu sendiri,” demikianlah firman TUHAN.