ZAKHARIA 9:9-17

ZAKHARIA 9:9-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Bersukacitalah, hai penduduk Sion! Bersoraklah, hai penduduk Yerusalem! Lihatlah, raja kamu datang! Dia datang dengan kemegahan dan kemenangan, tetapi dengan kerendahan hati, dia datang dengan menunggang keldai, dengan mengenderai anak keldai yang muda. TUHAN berfirman, “Aku akan melenyapkan kereta kuda dari Israel, dan juga kuda di Yerusalem; busur yang digunakan dalam peperangan akan dimusnahkan. Raja kamu akan mengadakan perdamaian antara bangsa-bangsa; kerajaannya terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.” TUHAN berfirman, “Kerana perjanjian-Ku dengan kamu, perjanjian yang disahkan dengan darah korban, Aku akan membebaskan bangsa kamu yang menderita dalam pembuangan seperti orang yang terkurung dalam perigi kering. Pulanglah, hai kamu orang buangan, sekarang kamu mempunyai harapan; pulanglah ke tempat perlindungan kamu. Aku memberitahu kamu sekarang, bahawa Aku akan memberkati kamu dua kali ganda bagi segala penderitaan yang kamu alami. Aku akan menggunakan Yehuda seperti busur pahlawan, dan Israel seperti anak panah. Aku akan menggunakan penduduk Sion seperti pedang, untuk memerangi orang Yunani.” TUHAN akan menampakkan diri kepada umat-Nya; Dia akan membidikkan anak panah seperti kilat. TUHAN Raja akan meniup trompet sebagai tanda melancarkan serangan, Dia akan maju dari selatan di tengah-tengah angin ribut. TUHAN Yang Maha Kuasa akan melindungi umat-Nya, mereka akan membinasakan musuh. Mereka akan memekik seperti orang mabuk memekik, sambil menumpahkan darah musuh; darah musuh akan mengalir seperti darah korban, yang dicurahkan di atas mazbah dari sebuah mangkuk. Pada hari itu kelak, TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, seperti gembala menyelamatkan ternakan daripada bahaya. Mereka akan bersinar di negeri TUHAN seperti permata pada mahkota. Alangkah baik dan indahnya negeri itu kelak! Pemuda dan pemudi akan bertambah kuat; gandum dan wain menguatkan mereka.

ZAKHARIA 9:9-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bergembiralah, wahai puteri Sion! Bersoraklah, wahai puteri Yerusalem! Lihat, rajamu datang kepadamu! Dia adil, pembawa kemenangan, Dia rendah hati, dan menunggang seekor keldai, seekor keldai muda. “Aku akan melenyapkan rata dari Efraim dan kuda perang dari Yerusalem. Busur peperangan akan dilenyapkan. Dia akan mewartakan damai kepada bangsa-bangsa. Wilayah kekuasaannya akan membentang dari laut sampai ke laut, dan dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.” “Mengenai engkau, kerana darah perjanjian-Ku denganmu, Aku akan melepaskan orang tahananmu dari lubang tutupan yang tidak berair. Kembalilah ke kubu, wahai para tahanan yang penuh harapan! Hari ini juga Kuberitahukan kepadamu bahawa Aku akan mengganti kerugianmu dua kali lipat. Aku akan melenturkan Yehuda seperti busur dan mengisinya dengan anak panah-Ku, Efraim. Aku akan membangkitkan para anakmu, wahai Sion, untuk melawan para anakmu, wahai Yunani. Engkau akan Kujadikan seperti pedang seorang kesateria.” TUHAN akan menampakkan diri kepada mereka dan anak-anak panah-Nya akan membedil seperti kilat. Tuhan ALLAH akan meniup sangkakala dan akan bergerak maju dalam badai dari sebelah selatan. TUHAN alam semesta, akan melindungi mereka. Mereka akan memusnahkan dan menginjak-injak batu-batu tarbil. Mereka akan minum dan meraung seolah-olah mabuk dengan air anggur, dan diisi penuh seperti mangkuk, dibasahi seperti penjuru-penjuru mazbah. Pada hari itu TUHAN, Allah mereka, akan menyelamatkan mereka sebagai kawanan domba umat-Nya. Sungguh, mereka seperti permata-permata mahkota yang berkilau-kilauan di tanah-Nya. Sungguh, betapa agung kebaikannya dan betapa agung keindahannya! Para pemuda akan bertumbuh kerana gandum dan para perawan kerana air anggur baru.