ZAKHARIA 9:9-12
ZAKHARIA 9:9-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Bersukacitalah, hai penduduk Sion! Bersoraklah, hai penduduk Yerusalem! Lihatlah, raja kamu datang! Dia datang dengan kemegahan dan kemenangan, tetapi dengan kerendahan hati, dia datang dengan menunggang keldai, dengan mengenderai anak keldai yang muda. TUHAN berfirman, “Aku akan melenyapkan kereta kuda dari Israel, dan juga kuda di Yerusalem; busur yang digunakan dalam peperangan akan dimusnahkan. Raja kamu akan mengadakan perdamaian antara bangsa-bangsa; kerajaannya terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.” TUHAN berfirman, “Kerana perjanjian-Ku dengan kamu, perjanjian yang disahkan dengan darah korban, Aku akan membebaskan bangsa kamu yang menderita dalam pembuangan seperti orang yang terkurung dalam perigi kering. Pulanglah, hai kamu orang buangan, sekarang kamu mempunyai harapan; pulanglah ke tempat perlindungan kamu. Aku memberitahu kamu sekarang, bahawa Aku akan memberkati kamu dua kali ganda bagi segala penderitaan yang kamu alami.
ZAKHARIA 9:9-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bergembiralah, wahai puteri Sion! Bersoraklah, wahai puteri Yerusalem! Lihat, rajamu datang kepadamu! Dia adil, pembawa kemenangan, Dia rendah hati, dan menunggang seekor keldai, seekor keldai muda. “Aku akan melenyapkan rata dari Efraim dan kuda perang dari Yerusalem. Busur peperangan akan dilenyapkan. Dia akan mewartakan damai kepada bangsa-bangsa. Wilayah kekuasaannya akan membentang dari laut sampai ke laut, dan dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.” “Mengenai engkau, kerana darah perjanjian-Ku denganmu, Aku akan melepaskan orang tahananmu dari lubang tutupan yang tidak berair. Kembalilah ke kubu, wahai para tahanan yang penuh harapan! Hari ini juga Kuberitahukan kepadamu bahawa Aku akan mengganti kerugianmu dua kali lipat.