ZAKHARIA 4:1-10

ZAKHARIA 4:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian kembalilah malaikat yang berbicara dengan aku itu lalu dibangunkannya aku, seperti seseorang yang dibangunkan dari tidurnya. Dia bertanya kepadaku, “Apakah yang kaulihat?” Jawabku, “Aku melihat sebuah kaki pelita yang seluruhnya terbuat daripada emas, dengan tempat minyak di puncaknya. Padanya ada tujuh buah pelita dengan tujuh buah corong minyak di bahagian puncak setiap pelita. Bersebelahannya ada dua pokok zaitun, satu di sebelah kanan tempat minyak itu dan satu di sebelah kirinya.” Lalu aku bertanya kepada malaikat yang berbicara dengan aku itu, “Apakah erti semua ini, tuanku?” Malaikat yang berbicara dengan aku itu menjawab, “Tidakkah engkau tahu apa erti semua ini?” Kataku, “Tidak, tuanku.” Katanya kepadaku, “Inilah firman TUHAN kepada Zerubabel, ‘Bukan dengan kegagahan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan Roh-Ku,’ firman TUHAN alam semesta. Siapakah engkau, wahai gunung yang besar? Di hadapan Zerubabel engkau akan menjadi tanah datar. Dia akan membawa keluar batu utama di tengah-tengah pekik sorak, ‘Bagus, bagus sekali batu itu!’ ” Kemudian firman TUHAN datang lagi kepadaku demikian, “Tangan Zerubabel telah meletakkan dasar bait ini, dan tangannya pula yang akan menyelesaikannya. Maka engkau akan tahu bahawa TUHAN alam semesta, telah mengutus aku kepadamu. Siapakah yang memandang hina hari terjadinya hal-hal yang kecil? Mereka akan bersukacita ketika melihat batu ladung di tangan Zerubabel. Ketujuh-tujuh pelita ini adalah mata TUHAN yang menjelajahi seluruh bumi.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami