ZAKHARIA 10:1-12

ZAKHARIA 10:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Mintalah TUHAN menurunkan hujan pada musim bunga. TUHAN yang mendatangkan awan mendung dan hujan sehingga padang menjadi hijau bagi setiap orang. Orang bertanya kepada berhala dan ahli nujum, tetapi jawapan yang diterima mereka hanya dusta dan repekan belaka. Ada orang yang mentafsirkan mimpi, tetapi tafsiran mereka hanya menyesatkan kamu. Penghiburan yang diberikan oleh mereka pun sia-sia sahaja. Oleh itu rakyat merayau-rayau seperti domba yang sesat. Mereka berada dalam kesusahan kerana tidak mempunyai pemimpin. TUHAN berfirman, “Aku murka terhadap orang bangsa asing yang memerintah umat-Ku. Aku akan menghukum mereka. Penduduk Yehuda milik-Ku, dan Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa akan memelihara mereka. Mereka akan menjadi kuda perang-Ku yang kuat. Aku akan memilih penguasa, pemimpin, dan panglima dari kalangan mereka untuk memerintah umat-Ku. Penduduk Yehuda akan menang seperti askar yang memijak-mijak musuh di dalam lumpur di jalan. Mereka akan berperang kerana TUHAN menyertai mereka. Mereka akan mengalahkan musuh yang menunggang kuda. Aku akan menguatkan penduduk Yehuda; Aku akan menyelamatkan penduduk Israel. Aku akan mengasihani mereka dan membawa mereka semua pulang. Aku akan memperlakukan mereka seolah-olah mereka tidak pernah Aku tolak. Akulah TUHAN, Allah mereka; Aku akan mengabulkan doa mereka. Penduduk Israel akan menjadi kuat seperti pahlawan, dan gembira seperti orang yang telah minum wain. Keturunan mereka akan ingat kemenangan ini, dan bersukacita kerana perbuatan TUHAN. Aku akan memanggil umat-Ku, Aku akan mengumpulkan mereka. Aku akan menyelamatkan mereka, dan membuat mereka banyak seperti dahulu. Walaupun Aku telah mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa, namun di tempat jauh mereka akan ingat kepada-Ku. Mereka dan anak-anak mereka akan selamat dan pulang bersama-sama. Dari Mesir dan Asyur, Aku akan membawa mereka pulang, dan menempatkan mereka di negeri mereka sendiri. Aku akan menempatkan mereka di Gilead dan di Lebanon; seluruh negeri itu akan penuh dengan penduduk. Apabila mereka menempuh gelora kehidupan, Aku, TUHAN akan memukul gelombang yang mengancam, sehingga Sungai Nil pun akan kering sama sekali. Orang Asyur yang sombong akan merendahkan diri, dan Mesir yang gagah perkasa akan kehilangan kuasa. Aku akan menguatkan umat-Ku; mereka akan beribadat dan taat kepada-Ku.” TUHAN telah berfirman.

ZAKHARIA 10:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Mintalah hujan kepada TUHAN pada masa hujan akhir musim — kepada TUHAN yang menjadikan kilat — maka Dia akan mengurniakan hujan lebat kepada manusia dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di padang kepada setiap orang. Patung berhala rumah mengatakan kesia-siaan dan penenung menyampaikan penglihatan dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi bohong dan memberikan penghiburan yang sia-sia. Oleh sebab itu orang berkeliaran seperti kawanan domba, menderita kerana tidak ada gembala. “Murka-Ku menyala-nyala terhadap para gembala dan Aku akan menghukum para pemimpin! TUHAN alam semesta, akan mengurus kawanan domba-Nya, iaitu keturunan kaum Yehuda, dan akan menjadikan mereka seperti kuda perang yang penuh kemegahan dalam peperangan. Daripada mereka akan muncul batu penjuru, daripada mereka akan muncul pancang khemah, daripada mereka akan muncul busur peperangan, daripada mereka akan muncul semua penguasa bersama-sama. Mereka akan seperti para kesateria yang menginjak-injak musuh di jalan berlumpur dalam peperangan. Mereka akan berperang kerana TUHAN menyertai mereka, dan akan mengaibkan para penunggang kuda. Aku akan menguatkan keturunan kaum Yehuda, dan menyelamatkan keturunan kaum Yusuf. Aku akan membawa mereka kembali, kerana Aku mengasihani mereka. Mereka akan menjadi orang yang seolah-olah tidak pernah Kubuang, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka, dan Aku akan menjawab mereka. Efraim akan seperti seorang kesateria, hati mereka akan gembira seperti orang minum air anggur. Anak-anak mereka akan melihatnya dan bersukacita, hati mereka akan bergembira di dalam TUHAN. Aku akan memanggil mereka dengan isyarat dan mengumpulkan mereka, kerana Aku telah menebus mereka. Mereka akan bertambah ramai sebagaimana ramainya mereka dahulu. Sekalipun Aku telah menyerakkan mereka ke antara bangsa-bangsa, di tempat-tempat yang jauh mereka akan mengingati Aku. Mereka akan bertahan hidup bersama dengan anak-anak mereka dan mereka akan kembali. Aku akan membawa mereka kembali dari Tanah Mesir dan mengumpulkan mereka dari Asyur. Aku akan membawa mereka masuk ke Tanah Gilead dan Lebanon, sampai tidak ada lagi tempat bagi mereka. Mereka akan mengharungi laut kesesakan dan memukul segala gelombang di laut, sehingga semua tempat yang dalam di Sungai Nil menjadi kering. Keangkuhan Asyur akan diruntuhkan dan tongkat kerajaan Mesir akan disingkirkan. Aku akan menguatkan mereka di dalam TUHAN, dan mereka akan berjalan dalam nama-Nya,” demikianlah firman TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami