TITUS 2:1-8
TITUS 2:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi engkau, Titus, harus mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar. Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, dan tahu mengawal diri. Mereka juga harus sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik. Dengan demikian wanita yang tua dapat mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Allah. Begitu juga, gesalah orang muda supaya mengawal diri. Hendaklah engkau menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara. Hendaklah engkau jujur dan bersungguh-sungguh, apabila engkau mengajar. Gunakanlah kata-kata bijak yang tidak dapat dicela orang, supaya musuhmu malu kerana tidak dapat mengecam kita.
TITUS 2:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
TŬTAPI handaklah angkau bŭrkata kata derihal pŭrkara yang mŭnjadikan pŭngajaran yang kukoh. Supaya orang tua tua itu mŭnjadi sopan, dan suman, dan himat, dan bijaksana, dan tŭtap dalam iman, dan kasihan, dan sabar. Maka pŭrampuan tau tua itupun dŭmkian lagi, supaya marika itu bŭrlaku mŭnurot klakuan suchi, bukannya pŭnudoh dusta, dan jangan biasa minum banyak anggor; guru guru dalam pŭrkara yang baik, Supaya dapat iya mŭngajar parŭmpuan muda muda mŭnjadi sopan, mŭngasihi akan suaminya, sŭrta mŭngasihi anak anaknya. Bijak, dan kamanisan, dan tŭtap dirumah, dan baik, dan mŭnurot prentah lakinya sŭndiri, supaya pŭrkataan Allah jangan dihujatkan. Sŭbagie lagi orang muda muda laki laki pun biarlah mŭnjadi bijak. Maka dalam sagala pŭrkara handaklah angkau mŭngunjokkan suatu tuladan atas pŭkŭrjaan yang baik: dan lagi dalam pŭngajaran mŭngunjokkanlah kasuchian, dan suman, dan tulos. Dan tutoran yang bŭnar, yang tiada dapat dichachatkan; supaya orang yang disŭblah itu mŭnjadi malu, sŭbab tiada sŭsuatu kajahatan yang handak dikatakannya deri halmu.
TITUS 2:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar. Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan. Seterusnya nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, pemabuk, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah. Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri. Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita.