TITUS 1:1-16

TITUS 1:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku, Paulus menulis surat ini sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Aku dipilih dan diutus untuk meneguhkan iman umat pilihan Allah. Aku juga harus memimpin mereka supaya mengenal ajaran benar yang diajarkan oleh agama kita. Ajaran itu berdasarkan harapan kita untuk menerima hidup sejati dan kekal. Allah yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman. Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita. Titus, dalam iman kita kepada Kristus, engkau bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita mengurniai engkau berkat dan kesejahteraan. Aku meninggalkan engkau di Kreta supaya engkau dapat menyelesaikan semua perkara yang masih perlu dilakukan, dan melantik pemimpin jemaah di setiap kota. Ingatlah akan petunjuk-petunjukku ini: Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela; dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja; anak-anaknya mesti percaya kepada Kristus, berkelakuan baik, dan bersifat taat. Hal itu demikian kerana seorang pemimpin jemaah bertugas mengurus pekerjaan Allah. Oleh itu dia haruslah tidak bercela. Dia tidak boleh sombong ataupun cepat marah, atau pemabuk, atau suka berkelahi, ataupun tamak akan wang. Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin. Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu. Dia harus berbuat demikian, kerana banyak orang yang memberontak dan menipu orang lain dengan cakap karut mereka, terutama sekali orang yang dahulunya beragama Yahudi. Mereka harus dihentikan menyebar ajaran sesat itu, kerana mereka merosakkan iman banyak keluarga. Perbuatan mereka itu hanya bertujuan untuk mencari wang dan hal itu sungguh memalukan. Seorang nabi dari Kreta pun pernah berkata, “Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas yang rakus dan malas.” Apa yang dikatakannya itu memang benar. Itulah sebabnya dengan tegas kamu mesti menegur orang yang mengajarkan ajaran sesat, supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar, dan tidak lagi mengendahkan dongeng-dongeng orang Yahudi ataupun peraturan daripada orang yang tidak mahu menerima ajaran benar itu. Bagi orang yang suci, semuanya suci. Tetapi bagi orang yang fikiran mereka dicemari dosa dan tidak percaya kepada apa yang benar, tiada sesuatu pun yang suci, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar! Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik.

TITUS 1:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Paulus, sa’orang hamba Allah, dan rasul Isa Almasih, iya itu kŭrna iman sagala orang yang tŭrpileh ulih Allah, dan kŭrna pŭngakuan akan bŭnar itu yang mŭndatangkan kŭbaktian. Sŭrta harap akan slamat kŭkal, yang tŭlah dijanjikan Allah yang tiada bulih dusta dahulu deripada pŭrmulaan dunia. Tŭtapi pada masa yang tŭrtŭntu tŭlah dinyatakan pŭrkataannya itu dŭngan mŭngajar, yang tŭlah disŭrahkan padaku, mŭnurot hukum Allah pŭnulong kami itu. Iya itu datang kapada Titus, anakku sungguh dalam iman yang sama pŭrulihan: maka biarlah kiranya anugrah dan rahmat, dan sŭjahtra, deripada Allah, iya itu Ayah, dan Tuhan Isa Almasih pŭnulong kami. Ulih sŭbab inilah aku tŭlah mŭninggalkan akan dikau dinŭgri Kretas, supaya angkau mŭngatorkan pŭrkara pŭrkara yang korang itu, dan mŭnŭntukan orang tua tua dalam tiap tiap nŭgri, spŭrti yang tŭlah aku surohkan padamu. Jika ada barang siapa yang tiada bŭrsalah, dan yang bŭristri suatu, dan yang ada branak anak sŭtiawan, yang tiada bulih ditudoh orang bŭrgadoh, atau mŭlawan hukum, Kŭrna sa’orang guru Injil itu, patut mŭnjadi orang yang tiada bŭrsalah, spŭrti bŭndahari Allah adanya; bukannya sa’orang yang mŭnurot kahandak hatinya sŭndiri, dan tiada lŭkas marah, dan tiada sangat mŭminom anggor, dan tiada mŭmukol orang, dan tiada yang mŭnchari laba yang kŭji; Tŭtapi sa’orang yang suka mŭmbri tumpang, dan yang bŭrsuka akan orang yang baik baik, dan sopan, dan bŭnar, dan suchi klakuannya, dan jimat. Dan sa’orang yang mŭmŭgang tŭtap akan pŭrkataan bŭnar itu spŭrti yang tŭlah dipŭlajarinya, supaya dŭngan pŭngajaran yang kukoh itu, bulihlah iya mŭmbri nasihat, dan mŭnŭmplak akan orang yang mŭlawan. Kŭrna adalah banyak orang yang mŭlawan hukum, dan bŭrtutor sia sia, dan pŭnipu pŭnipu, tŭrutama orang orang yang deripada orang bŭrsunat itu. Yang punya mulot patut ditutopkan, yang mŭmbalikkan sagala hati isi isi rumah, sŭrta mŭngajar barang pŭrkara yang tiada patut, sŭbab mŭnchari laba yang kŭji itu. Maka sa’orang deripada marika itu, iya itupun sa’orang gurunya sŭndiri, tŭlah bŭrkata dŭmkian, bahwa orang orang Kretas itu slalu pŭmbohong, binatang yang jahat, dan glojoh. Bahwa saksi inilah bŭnar adanya, maka sŭbab itu tŭngkinglah ulihmu sangat sangat akan marika itu, supaya iya mŭnjadi samporna dalam iman. Dan jangan iya dŭngar dŭngarkan akan chŭrtra orang Yahudi yang bukan bukan itu, dan rukun rukun orang yang bŭrpaling deripada bŭnar itu. Maka kapada orang yang suchi sagala pŭrkara pun suchilah: tŭtapi pada orang orang nŭjis, dan yang tiada pŭrchaya itu barang suatupun tiada suchi; mŭlainkan baik akalnya, baik angan angan hatinya itu pun nŭjis juga. Maka marika itu mŭngakukan dirinya mŭngatahui Allah, tŭtapi dŭngan pŭrbuatannya iya mŭnyangkali dia, sŭbab marika itu kabŭnchian, dan dŭrhaka, dan tiada akal dalam barang pŭrbuatan yang baik.

TITUS 1:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan. Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman. Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita, Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera. Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti yang telah kuarahkan kepadamu. Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar. Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela — tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus. Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan tertib. Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu. Sebabnya ada ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan. Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut — untuk mendapat keuntungan yang haram. Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, “Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.” Kata-kata kesaksian itu memang benar. Oleh itu tegurlah mereka dengan tegas supaya iman mereka kukuh dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar. Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar. Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami