KIDUNG AGUNG 6:4-10
KIDUNG AGUNG 6:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai sayangku, engkau secantik kota Yerusalem, seindah kota Tirza. Engkau sangat mempesonakan seperti kota-kota yang besar itu. Palingkanlah wajahmu daripadaku, kerana pandanganmu membingungkan aku. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead. Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dimandikan; berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun hilang. Pipimu seperti belahan buah delima, di balik tudungmu. Biarpun ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan gadis yang tidak terbilang, namun aku mengasihi seorang sahaja, dan dia cantik seperti burung merpati; anak tunggal kesayangan ibunya. Semua gadis melihat dan memuji dia, permaisuri dan gundik kagum akan dia. Siapakah dia yang datang seperti fajar merekah? Dia seindah bulan purnama, secerah sang suria.
KIDUNG AGUNG 6:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sayangku, engkau cantik seperti Tirza, lawa seperti Yerusalem, hebat seperti tentera yang membawa panji-panji. Alihkanlah matamu daripadaku, kerana aku tenggelam lemas dibuatnya. Rambutmu bak kawanan kambing yang melompat turun dari Gilead. Gigimu bak kawanan domba betina yang baru naik dari tempat pembasuhan, semuanya beranak kembar; tiada satu pun di antaranya yang kehilangan anak. Pelipismu bagaikan buah delima merekah di balik tudungmu. Ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan tidak terhingga ramainya perawan. Tetapi dialah satu-satunya merpatiku, kekasihku yang sempurna, dialah satu-satunya anak ibunya, anak kesayangan orang yang melahirkannya. Para puteri melihatnya dan menyebutnya berbahagia, para permaisuri dan para gundik pun memujinya. “Siapakah si dia yang menjenguk bagaikan fajar, cantik bagaikan bulan purnama, terang bagaikan matahari, dan hebat lagi menaikkan semangat seperti tentera pembawa panji-panji?”