KIDUNG AGUNG 5:2-16

KIDUNG AGUNG 5:2-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku tidur, tetapi hatiku berjaga. Dengarlah, kekasihku mengetuk pintu. Benarkanlah aku masuk, hai sayangku, merpatiku, buah hatiku. Kepalaku basah kerana embun, dan rambutku penuh titisan embun malam. Pakaian telah kutanggalkan; mengapakah aku harus memakainya lagi? Kaki pun telah kucuci; mengapakah aku harus mengotorkannya lagi? Berdebar-debar hatiku, kerana kekasihku memegang tombol pintu. Maka bangunlah aku hendak membuka pintu bagi kekasihku. Mur menitis dari tangan dan jariku membasahi tombol pintu. Aku membuka pintu untuk kekasihku, tetapi dia sudah pergi. Aku sangat merindukan suaranya. Aku mencari dia tetapi tidak menemuinya; aku memanggil dia, tetapi dia tidak menyahut. Peronda-peronda kota menemui aku; mereka memukul dan melukai aku; pengawal di tembok kota merampas selendangku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, jika kamu menjumpai kekasihku, beritahulah dia bahawa aku sakit asmara. Hai gadis yang paling jelita, adakah kekasihmu lebih baik daripada kekasih lain? Apakah kelebihan kekasihmu sehingga kami harus berjanji kepadamu? Kekasihku kacak dan gagah; unggul antara sepuluh ribu orang. Kepalanya seperti emas, emas murni, rambutnya berombak-ombak, hitam seperti burung gagak. Matanya seperti burung merpati di mata air, merpati bermandi susu, di tebing anak sungai. Pipinya bagaikan kebun rempah yang wangi. Bibirnya bagaikan bunga bakung yang menitiskan mur cecair. Tangannya elok, dan dia memakai cincin emas dengan permata. Badannya seperti gading bertatah batu nilam. Kakinya seperti tiang marmar putih, yang beralaskan emas. Perawakannya gagah seperti gunung-gunung di Lebanon, dan anggun seperti pokok sedar. Amat manis tutur katanya, segala yang ada padanya menawan hatiku. Demikianlah kekasihku dan sahabatku, hai puteri-puteri Yerusalem.

KIDUNG AGUNG 5:2-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku tidur, namun hatiku masih sedar. Dengarlah, kekasihku mengetuk-ngetuk pintu. “Bukakanlah aku pintu, wahai adindaku, sayangku, merpatiku, kekasihku yang sempurna! Kepalaku kuyup oleh embun dan rambutku lebat dengan titis-titis embun malam.” Bajuku telah kutanggalkan, haruskah aku pakainya semula? Kakiku telah kubasuh, haruskah aku mengotorkannya semula? Kekasihku memasukkan tangannya menerusi lubang di pintu, berdebar-debarlah hatiku kerananya. Aku bangun untuk membuka pintu bagi kekasihku. Tanganku menitiskan damar wangi, dan mengalirlah damar wangi daripada jari-jariku ke atas pemegang di pengancing pintu. Kubuka pintu untuk kekasihku, tetapi kekasihku telah berpaling dan pergi. Hatiku terhenyak ketika dia berkata-kata. Kucari dia, tetapi tidak kutemui; kupanggil-panggil, tetapi dia tidak menyahut. Para pengawal yang meronda kota menemui aku. Mereka memukuli aku, mereka melukai aku, mereka merampas mantelku — para penjaga tembok itu! Kumohon dengan sungguh-sungguh kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, jika kamu menemukan kekasihku, sampaikanlah kepadanya bahawa aku diserang sakit asmara! Apakah kelebihan kekasihmu daripada kekasih lain, wahai yang tercantik di antara perempuan? Apakah kelebihan kekasihmu berbanding dengan kekasih lain, sehingga kaumohon sangat-sangat kepada kami? Kekasihku itu putih kemerah-merahan, terkemuka di antara sepuluh ribu orang. Kepalanya bak emas termurni, rambutnya ikal, sehitam sang gagak. Matanya bak burung merpati di tepi saluran air, bermandikan susu, lengkap dalam kecukupan. Pipinya bagaikan hamparan rempah-ratus, bak permatang pelbagai herba harum. Bibirnya bak bunga bakung, menitiskan cairan damar wangi. Tangannya bak gandar emas, bertatahkan permata topaz. Tubuhnya bak ukiran gading, bertatah batu nilam. Kakinya bak tonggak marmar putih, terlekap di atas alas emas murni. Keterampilannya bak Lebanon, terpilih sebagaimana pokok-pokok araznya. Mulutnya paling manis, ya dia sama sekali mengasyikkan. Demikianlah kekasihku, demikianlah sahabatku, wahai puteri-puteri Yerusalem.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami