KIDUNG AGUNG 4:1-16

KIDUNG AGUNG 4:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh cantik! Matamu di balik tudung bagaikan mata merpati. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead. Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dicukur dan dimandikan, berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun yang hilang. Bibirmu seperti pita merah, dan mulutmu cantik. Pipimu seperti belahan buah delima di balik tudungmu. Lehermu seperti menara Daud, yang dibina berlapis-lapis, kalungmu seperti seribu perisai pahlawan. Buah dadamu seperti dua anak rusa, seperti kijang kembar yang sedang merumput di antara bunga bakung. Aku akan pergi ke gunung mur dan ke bukit kemenyan, sehingga bayu pagi bertiup dan kegelapan malam hilang. Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, tiada cacat padamu. Marilah kepadaku, hai pengantinku, turunlah dari Lebanon; datanglah kepadaku dari pergunungan Lebanon. Turunlah dari puncak Amana, dari puncak Senir dan Hermon, tempat tinggal singa dan harimau bintang. Hai kekasih dan pengantinku, engkau memikat hatiku dengan mata dan kalungmu. Cintamu menyukakan hatiku, hai kekasih dan pengantinku. Cintamu lebih nikmat daripada wain, minyak wangimu lebih harum daripada segala rempah. Bibirmu lebih manis daripada madu, hai pengantinku. Lidahmu seperti susu dan madu, bagiku. Pakaianmu seharum Pergunungan Lebanon. Kekasih dan pengantinku seperti taman yang bertembok, taman yang bertembok, mata airku sendiri. Di sana tumbuh pokok-pokok delima dengan buah-buah yang paling lazat; bunga inai dan narwastu, kunyit, tebu, kayu manis, dan segala macam kemenyan; mur dan gaharu dengan pelbagai rempah pilihan. Taman itu diairi mata air yang memancarkan air segar, yang mengalir dari Pergunungan Lebanon. Bangkitlah, hai angin utara. Bertiuplah ke tamanku, hai angin selatan; biarlah harummu semerbak di udara. Semoga kekasihku datang ke tamanku, dan makan buah-buah yang lazat.

KIDUNG AGUNG 4:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Betapa cantiknya engkau, sayangku! Betapa cantiknya! Di balik tudungmu, matamu bak burung merpati. Rambutmu bak kawanan kambing yang melompat turun dari Gunung Gilead. Gigimu bak kawanan domba sesudah digunting bulunya, yang naik dari tempat pembasuhan; semuanya beranak kembar, tiada satu pun di antaranya yang kehilangan anak. Bibirmu bagaikan benang merah menyala, dan mulutmu comel. Pelipismu bagaikan buah delima merkah di balik tudungmu. Lehermu bagaikan menara Daud, yang dibangunkan dengan barisan menara kecil, padanya tergantung seribu perisai, semuanya perisai para kesateria. Kedua-dua payudaramu bak dua ekor anak rusa, dua ekor kijang kembar, yang meragut rumput di antara bunga bakung. Sehingga muncul hari siang dan bayang-bayang menghilang, akan kupergi ke gunung damar wangi serta ke bukit kemenyan. Engkau sama sekali cantik, sayangku, tiada cacat cela padamu. Ayuh, datanglah bersama-samaku dari Lebanon, wahai pengantinku, datanglah bersama-samaku dari Lebanon. Berangkatlah dari puncak Amana, dari puncak Senir dan Hermon, dari sarang-sarang singa, dari pergunungan tempat kegemaran sang harimau bintang. Engkau telah menawan hatiku, wahai adindaku, pengantinku! Engkau telah menawan hatiku dengan satu kerlingan mata, dengan seutas kalung pada lehermu. Betapa indah cintamu, adindaku, pengantinku! Betapa nikmat cintamu, lebih daripada air anggur; juga bau minyak wangimu, lebih daripada mana-mana rempah pun! Bibirmu menitiskan madu murni, wahai pengantinku; Ada madu dan air susu di bawah lidahmu, dan bau pakaianmu seperti bau Lebanon. Adindaku, pengantinku, sebuah taman yang terkunci, pancuran tertutup dan mata air termaterai. Engkau dusun yang membuahkan delima serta semua buah terpilih, dan inai serta narwastu, narwastu dan kunyit, tebu wangi dan kayu manis, dengan segala macam pokok kemenyan, damar wangi dan gaharu, dan segala rempah yang terulung. Engkaulah pancutan air di taman, perigi air kehidupan, dan aliran air dari Lebanon! Bangunlah, wahai angin utara! Ke marilah, wahai angin selatan! Bertiuplah di tamanku, agar tersebar semerbak bau rempah-ratusnya. Semoga kekasihku memasuki taman miliknya, dan memakan buah-buahnya yang terulung.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami