KIDUNG AGUNG 1:1-7
KIDUNG AGUNG 1:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Kidung Agung oleh Raja Salomo. Ciumlah aku dengan bibirmu; cintamu lebih nikmat daripada wain. Engkau harum semerbak, namamu seperti minyak wangi yang dicurahkan. Oleh itu, gadis-gadis cinta kepadamu. Cepatlah, bawalah aku bersama-samamu, ya rajaku, bawalah aku ke bilikmu. Kami akan bersukaria kerana engkau, dan memuji cintamu lebih daripada wain; patutlah gadis-gadis cinta kepadamu. Hai puteri-puteri Yerusalem, sungguhpun aku hitam tetapi aku manis; walaupun aku hitam seperti khemah Kedar, tetapi aku cantik seperti tirai di istana Salomo. Jangan hina aku kerana kulitku hitam; aku hitam kerana kena sinaran matahari. Saudara-saudaraku marah terhadap aku, dan memaksa aku bekerja di ladang anggur; aku tiada masa menjaga diriku sendiri. Katakanlah, hai kekasihku, di manakah engkau akan menggembalakan ternakan, di manakah domba berbaring pada tengah hari? Mengapakah aku harus mencari engkau antara kawanan domba kepunyaan gembala lain?
KIDUNG AGUNG 1:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kidung Agung oleh Raja Salomo. Semoga diciumnya aku dengan kecupan bibirnya! Kerana cumbuanmu lebih nikmat daripada air anggur. Harum urapan minyak wangimu menggembirakan, dan namamu bak curahan minyak wangi, lantas betapa engkau dipuja para perawan! Rengkuhlah aku di belakangmu! Ayuh kita bergegas! Aku sudah dibawa sang raja ke dalam biliknya. Meriahlah kami beriang ria kerana engkau, kami akan menyanjung cintamu lebih daripada air anggur. Patutlah mereka cinta kepadamu! Memang aku hitam, tetapi elok, wahai para puteri Yerusalem, biarpun hitam bak khemah-khemah Kedar, namun elok seperti tirai istana Salomo! Usah tenung aku kerana aku hitam, kerana panasnya suria menggelapkan wajahku. Anak-anak ibuku yang marah kepadaku, menjadikan aku penjaga kebun anggur; hinggakan kebun anggurku sendiri tidak kujaga. Beritahu aku, wahai kekasih hatiku, di manakah engkau menggembala domba, di manakah engkau membiarkan kawanan itu berehat kala tengah hari? Agar aku tidak tercari-cari engkau di antara kawanan domba para sahabatmu?