KIDUNG AGUNG 1:1-11

KIDUNG AGUNG 1:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kidung Agung oleh Raja Salomo. Semoga diciumnya aku dengan kecupan bibirnya! Kerana cumbuanmu lebih nikmat daripada air anggur. Harum urapan minyak wangimu menggembirakan, dan namamu bak curahan minyak wangi, lantas betapa engkau dipuja para perawan! Rengkuhlah aku di belakangmu! Ayuh kita bergegas! Aku sudah dibawa sang raja ke dalam biliknya. Meriahlah kami beriang ria kerana engkau, kami akan menyanjung cintamu lebih daripada air anggur. Patutlah mereka cinta kepadamu! Memang aku hitam, tetapi elok, wahai para puteri Yerusalem, biarpun hitam bak khemah-khemah Kedar, namun elok seperti tirai istana Salomo! Usah tenung aku kerana aku hitam, kerana panasnya suria menggelapkan wajahku. Anak-anak ibuku yang marah kepadaku, menjadikan aku penjaga kebun anggur; hinggakan kebun anggurku sendiri tidak kujaga. Beritahu aku, wahai kekasih hatiku, di manakah engkau menggembala domba, di manakah engkau membiarkan kawanan itu berehat kala tengah hari? Agar aku tidak tercari-cari engkau di antara kawanan domba para sahabatmu? Jika engkau tidak tahu, wahai yang tercantik di antara semua perempuan, keluarlah mengikuti jejak kawanan dombaku dan gembalakanlah anak-anak kambingmu berdekatan khemah-khemah para gembala. Sayangku, aku membanding engkau dengan kuda betina pada rata-rata Firaun. Comelnya pipimu dengan perhiasan dan lehermu yang dikalungkan manik-manik. Untukmu akan kami buat perhiasan-perhiasan emas yang bertatah perak.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami