RUT 1:2-5
RUT 1:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada zaman sebelum umat Israel mempunyai raja, kebuluran berlaku di tanah Kanaan. Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Elimelekh. Dia daripada puak Efrata, dan tinggal di Betlehem di wilayah Yehuda. Oleh sebab kebuluran itu, dia pergi ke negeri Moab bersama dengan isterinya Naomi, serta dua orang anak lelakinya, Mahlon dan Kilyon. Mereka tinggal di Moab untuk sementara waktu. Semasa mereka di sana, Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya. Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun, Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya.
RUT 1:2-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Nama lelaki itu Elimelekh dan isterinya Naomi; dan nama dua orang anak lelakinya Mahlon dan Kilyon. Mereka itu warga Efrata dari Betlehem di Yehuda. Setelah tiba di bumi Moab mereka pun mendiami tempat itu. Kemudian Elimelekh, suami Naomi, mati; dan Naomi ditinggalkan dengan dua orang anaknya. Kedua-dua orang anak itu memperisteri perempuan bani Moab, masing-masing bernama Orpa dan Rut. Mereka tinggal di sana selama kira-kira sepuluh tahun. Selepas itu, Mahlon dan Kilyon juga mati. Oleh itu, perempuan itu kehilangan suami dan juga kedua-dua orang anaknya.