RUT 1:2-21

RUT 1:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada zaman sebelum umat Israel mempunyai raja, kebuluran berlaku di tanah Kanaan. Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Elimelekh. Dia daripada puak Efrata, dan tinggal di Betlehem di wilayah Yehuda. Oleh sebab kebuluran itu, dia pergi ke negeri Moab bersama dengan isterinya Naomi, serta dua orang anak lelakinya, Mahlon dan Kilyon. Mereka tinggal di Moab untuk sementara waktu. Semasa mereka di sana, Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya. Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun, Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya. Kemudian Naomi mendengar bahawa TUHAN telah memberkati umat-Nya dengan memberikan hasil tanaman yang baik kepada mereka. Oleh itu Naomi bersiap-siap untuk meninggalkan Moab bersama dengan kedua-dua orang menantunya. Mereka berangkat bersama-sama untuk balik ke Yehuda. Tetapi dalam perjalanan, Naomi berkata kepada kedua-dua orang menantunya, “Pulanglah ke rumah ibu kamu. Semoga TUHAN berbuat baik terhadap kamu seperti kamu telah berbuat baik terhadap aku dan terhadap mereka yang telah meninggal. Semoga TUHAN berkenan memberikan jodoh kepada kamu supaya kamu berumahtangga lagi.” Setelah mengatakan demikian, Naomi mencium mereka sambil mengucapkan selamat tinggal. Tetapi Orpa dan Rut menangis tersedu-sedu. Mereka berkata kepada Naomi, “Tidak! Kami akan ikut mak balik ke bangsa mak.” Tetapi Naomi menjawab, “Lebih baik kamu pulang, anakku. Mengapa kamu hendak ikut aku? Aku tidak dapat melahirkan anak lagi untuk dikahwinkan dengan kamu! Pulanglah. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki, sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Patutkah hal itu menghalangi kamu berkahwin dengan orang lain? Janganlah begitu, anakku. Aku sedih dengan apa yang terpaksa kamu alami kerana hukuman TUHAN terhadap aku.” Rut dan Orpa menangis lagi dengan tersedu-sedu. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya dan mengucapkan selamat tinggal, lalu pulang. Tetapi Rut tidak mahu meninggalkan ibu mentuanya. Naomi berkata kepadanya, “Lihatlah Rut, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pergilah, anakku. Pulanglah seperti birasmu.” Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga. Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.” Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?” Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit. Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.”

RUT 1:2-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Nama lelaki itu Elimelekh dan isterinya Naomi; dan nama dua orang anak lelakinya Mahlon dan Kilyon. Mereka itu warga Efrata dari Betlehem di Yehuda. Setelah tiba di bumi Moab mereka pun mendiami tempat itu. Kemudian Elimelekh, suami Naomi, mati; dan Naomi ditinggalkan dengan dua orang anaknya. Kedua-dua orang anak itu memperisteri perempuan bani Moab, masing-masing bernama Orpa dan Rut. Mereka tinggal di sana selama kira-kira sepuluh tahun. Selepas itu, Mahlon dan Kilyon juga mati. Oleh itu, perempuan itu kehilangan suami dan juga kedua-dua orang anaknya. Lalu bersiap-siaplah Naomi bersama-sama kedua-dua orang menantunya untuk pulang dari bumi Moab kerana di bumi Moab itu dia terdengar khabar bahawa TUHAN telah memperhatikan umat-Nya serta memberikan makanan kepada mereka. Maka bertolaklah dia dari tempat penghuniannya dan bersama-sama dua orang menantunya dia menempuh perjalanan untuk pulang ke Tanah Yehuda. Berkatalah Naomi kepada dua orang menantunya, “Pulanglah kamu ke rumah ibu masing-masing. Semoga TUHAN mengasihani kamu sebagaimana kamu mengasihani dua orang arwah itu dan juga aku. Semoga TUHAN mengurniaimu tempat bernaung kelak di rumah suami masing-masing.” Lalu diciumnya kedua-dua orang menantunya namun mereka mengangkat suara dan menangis. Kedua-dua mereka merayu kepadanya, “Tidak, kami mahu bersama-sama ibu pulang kepada suku kaum ibu.” Naomi menjawab, “Baik kamu pulang sahaja, wahai anak-anakku. Mengapa kamu mahu mengikut aku? Adakah lagi anak lelaki di dalam rahimku yang boleh menjadi suamimu? Pergilah! Pulanglah kamu, wahai anakku. Aku kini terlalu tua untuk bersuami. Sekalipun ada harapan aku bersuami dan kemudian katakan pada malam ini juga aku bersuami dan seterusnya melahirkan lagi anak lelaki; mampukah kamu menanti sehingga anak-anakku dewasa? Adakah kamu akan menolak untuk bersuami lagi dalam tempoh itu? Janganlah begini wahai anakku. Pengalamanku lebih perit, namun inilah kehendak TUHAN dalam kehidupanku.” Semakin nyaring tangisan mereka berdua, lalu Orpa mencium mertuanya, memohon diri dan berangkat tetapi Rut memaut mertuanya dengan kuat. Berkatalah Naomi, “Birasmu telah pun pulang kepada kaumnya dan kepada tuhan-tuhannya, eloklah kamu juga pulang mengikut birasmu itu.” Maka jawab Rut, “Janganlah mendesak aku meninggalkan atau berpaling daripada mengikut ibu kerana ke mana-mana pun ibu tujui aku akan ikut dan di mana-mana sahaja ibu menumpang di situ jugalah aku menumpang. Kaum ibu itulah kaumku dan Allahmu ialah Allahku; dan di mana-mana sahaja ibu mati, di situ jugalah aku mati dan dikuburkan. Semoga beginilah kiranya yang dilakukan TUHAN kepadaku, malahan lebih lagi, jika apa-apa pun selain maut memisahkan aku dan ibu.” Apabila sudah jelas kepada Naomi betapa kuat tekad Rut untuk ikut bersama-samanya, dia berhenti menghalang Rut mengikutinya. Maka berjalanlah kedua-duanya sehingga mereka tiba di Betlehem. Ketika mereka memasuki kota raya itu, gemparlah seluruh kota itu dan para warga perempuan berkata, “Naomikah ini?” Tetapi dia berkata kepada mereka, “Janganlah memanggilku Naomi; panggil aku Mara, kerana Yang Maha Kuasa telah membuat hidupku terlalu pahit. Aku keluar dari sini dengan tangan yang penuh tetapi TUHAN membawa aku pulang dengan tangan yang kosong. Mengapa panggilku ‘Naomi’ walhal kesaksian TUHAN menentangku malah Yang Maha Kuasa juga menimpakan bencana kepadaku?”