RUT 1:19-22
RUT 1:19-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?” Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit. Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.” Demikianlah kisahnya Naomi pulang dari Moab bersama dengan Rut menantunya, orang Moab itu. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.
RUT 1:19-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka berjalanlah kedua-duanya sehingga mereka tiba di Betlehem. Ketika mereka memasuki kota raya itu, gemparlah seluruh kota itu dan para warga perempuan berkata, “Naomikah ini?” Tetapi dia berkata kepada mereka, “Janganlah memanggilku Naomi; panggil aku Mara, kerana Yang Maha Kuasa telah membuat hidupku terlalu pahit. Aku keluar dari sini dengan tangan yang penuh tetapi TUHAN membawa aku pulang dengan tangan yang kosong. Mengapa panggilku ‘Naomi’ walhal kesaksian TUHAN menentangku malah Yang Maha Kuasa juga menimpakan bencana kepadaku?” Demikianlah Naomi pulang bersama-sama Rut, perempuan bani Moab, menantunya, yang turut pulang dari bumi Moab. Dan mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.