RUT 1:11-19

RUT 1:11-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi Naomi menjawab, “Lebih baik kamu pulang, anakku. Mengapa kamu hendak ikut aku? Aku tidak dapat melahirkan anak lagi untuk dikahwinkan dengan kamu! Pulanglah. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki, sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Patutkah hal itu menghalangi kamu berkahwin dengan orang lain? Janganlah begitu, anakku. Aku sedih dengan apa yang terpaksa kamu alami kerana hukuman TUHAN terhadap aku.” Rut dan Orpa menangis lagi dengan tersedu-sedu. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya dan mengucapkan selamat tinggal, lalu pulang. Tetapi Rut tidak mahu meninggalkan ibu mentuanya. Naomi berkata kepadanya, “Lihatlah Rut, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pergilah, anakku. Pulanglah seperti birasmu.” Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga. Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.” Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?”

RUT 1:11-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Naomi menjawab, “Baik kamu pulang sahaja, wahai anak-anakku. Mengapa kamu mahu mengikut aku? Adakah lagi anak lelaki di dalam rahimku yang boleh menjadi suamimu? Pergilah! Pulanglah kamu, wahai anakku. Aku kini terlalu tua untuk bersuami. Sekalipun ada harapan aku bersuami dan kemudian katakan pada malam ini juga aku bersuami dan seterusnya melahirkan lagi anak lelaki; mampukah kamu menanti sehingga anak-anakku dewasa? Adakah kamu akan menolak untuk bersuami lagi dalam tempoh itu? Janganlah begini wahai anakku. Pengalamanku lebih perit, namun inilah kehendak TUHAN dalam kehidupanku.” Semakin nyaring tangisan mereka berdua, lalu Orpa mencium mertuanya, memohon diri dan berangkat tetapi Rut memaut mertuanya dengan kuat. Berkatalah Naomi, “Birasmu telah pun pulang kepada kaumnya dan kepada tuhan-tuhannya, eloklah kamu juga pulang mengikut birasmu itu.” Maka jawab Rut, “Janganlah mendesak aku meninggalkan atau berpaling daripada mengikut ibu kerana ke mana-mana pun ibu tujui aku akan ikut dan di mana-mana sahaja ibu menumpang di situ jugalah aku menumpang. Kaum ibu itulah kaumku dan Allahmu ialah Allahku; dan di mana-mana sahaja ibu mati, di situ jugalah aku mati dan dikuburkan. Semoga beginilah kiranya yang dilakukan TUHAN kepadaku, malahan lebih lagi, jika apa-apa pun selain maut memisahkan aku dan ibu.” Apabila sudah jelas kepada Naomi betapa kuat tekad Rut untuk ikut bersama-samanya, dia berhenti menghalang Rut mengikutinya. Maka berjalanlah kedua-duanya sehingga mereka tiba di Betlehem. Ketika mereka memasuki kota raya itu, gemparlah seluruh kota itu dan para warga perempuan berkata, “Naomikah ini?”