ROMA 8:26-39

ROMA 8:26-39 Alkitab Berita Baik (BM)

Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia. Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain? Siapakah berani menuduh kita, umat yang sudah dipilih oleh Allah? Tiada seorang pun, kerana Allah sendiri menyatakan kita tidak bersalah. Siapakah dapat menyalahkan kita? Tiada seorang pun, kerana Kristus Yesus membela kita! Dialah yang sudah mati, bahkan sudah dibangkitkan daripada kematian dan berada di sebelah kanan Allah. Apakah yang dapat menghalang Kristus mengasihi kita? Tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kesusahan, kesukaran, penganiayaan, kelaparan, kemiskinan, bahaya mahupun kematian. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sepanjang masa kami menghadapi bahaya maut kerana Engkau. Kami diperlakukan seperti domba yang akan disembelih.” Tidak! Dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita! Aku yakin bahawa tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kematian mahupun kehidupan, baik malaikat mahupun penguasa lain di angkasa, baik hal-hal yang berlaku sekarang mahupun pada masa yang akan datang; baik hal-hal yang di langit mahupun yang di bumi - tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita!

ROMA 8:26-39 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Dan dŭmkian lagi Roh itu pun mŭnulong akan kalŭmahan kita, kŭrna tiada kita kŭtahui apakah yang handak kita bŭrdoa dŭngan spatutnya, mŭlainkan Roh itu sŭndiri mŭmohonkan akan ganti kita dŭngan mŭngŭrang yang tiada dapat dibunyikan. Adapun Tuhan yang mŭnyŭlidek akan sagala hati itu, dikŭtahuinyalah akan kahandak Roh itu, sŭbab iya tulong mŭmohonkan kŭrna orang orang suchi itu spŭrti yang dikahandaki Allah. Maka kami mŭngtahui, bahwa sagala pŭrkara bŭkŭrja bŭrsama sama akan mŭndatangkan kŭbajikan kapada orang orang yang mŭngasihi Allah, iyaani kapada marika itu yang tŭlah dipileh itu sŭkŭdar kahandak Allah. Adapun orang yang tŭlah dikŭtahui tŭrdahulu itu, maka marika itulah ditakdirkannya akan mŭnjadi sŭrupa tauladan anaknya, supaya iya mŭnjadi anak sulong diantara saudara saudara yang banyak itu. Tambahan pula orang yang tŭlah ditakdirkannya itu, maka iyalah juga yang dipileh; maka orang orang yang dipilehnya itu, maka iyalah juga yang dibŭnarkannya, dan orang yang dibŭnarkannya itulah juga dipŭrmuliakannya. Maka apakah garangannya yang handak kita katakan atas sagala pŭrkara ini? Adapun jikalau Allah ada bŭrsŭrta dŭngan kita, siapakah yang dapat mŭlawan kita? Adapun Allah yang tiada sayang akan Anaknya sŭndiri, mŭlainkan disŭrahkannya dia akan ganti kita skalian; bŭtapa kiranya Tuhan tiada akan mŭmbri bŭrsama sama dŭngan Anaknya sagala pŭrkara kapada kita dŭngan kŭmewahannya? Maka siapakah yang dapat mŭnchŭlai akan orang yang dipileh Allah? mŭlainkan Allah juga mŭmbŭnarkan. Siapakah dia itu yang mŭnghukumkan? Mŭlainkan Almasih juga yang tŭlah mati, bahkan tŭrutama iya itu yang tŭlah dibangkitkan pula, maka iyalah juga yang pada kanan Allah, dan lagi yang mŭmohonkan kŭrna kita. Maka siapakah kŭlak yang mŭnchŭriekan kita deri pada kasih Almasih itu? Ta’kan kasukaran, atau kasusahan, atau annyaya, atau kŭlaparan, atau kŭtŭlanjangan, atau bahya, atau pŭdangkah? Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Ulih sŭbab angkaulah kita dibunoh dalam sŭpanjang panjang hari, dan kita pun dibilangkan spŭrti domba yang akan disŭmbleh. Bahkan dalam sagala pŭrkara ini kita tŭrlebih pula mŭnang dŭngan bŭrkatnya dia yang mŭngasih kita. Kŭrna yakinlah aku, bahwa baik mati, atau hidop; baik mŭliekat, atau sagala pŭmŭrentah; baik kwasa, atau pŭrkara pŭrkara yang halir, baik pŭrkara pŭrkara yang akan datang; Atau tinggi, baik dalam, atau barang suatu makhlok yang lain pun, tiada dapat mŭnchŭriekan kita deripada kasihan Allah yang ada dalam Isa Almasih Tuhan kita.

ROMA 8:26-39 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Demikian jugalah, Roh menolong kita dalam kelemahan kita. Kita tidak tahu apa yang patut kita doakan, tetapi Roh itu sendiri berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata. Dan Dia yang menyoroti hati kita tahu akan fikiran Roh, kerana Roh berdoa syafaat bagi pihak orang yang salih menurut kehendak Allah. Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya. Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya, maka Anak itu merupakan yang sulung di antara saudara yang ramai. Dan orang yang ditentukan Allah dari mulanya dahulu dipanggil-Nya; orang yang dipanggil-Nya itu diperbenar-Nya; orang yang diperbenar-Nya itu dipermulia-Nya pula. Jadi, apakah yang akan kita katakan sebagai sambutan kepada hal ini? Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita? Dia tidak mengecualikan Anak-Nya sendiri, tetapi menyerahkan-Nya untuk kita semua. Oleh itu, tidakkah Dia, bersama Anak-Nya itu, juga akan memberikan segala-galanya kepada kita dengan rela? Siapa yang akan mendakwa orang pilihan Allah? Allah yang memperbenar. Siapakah yang dapat mempersalah kita? Kristus Yesus, yang telah mati, bahkan lebih daripada itu, yang telah dibangkitkan, berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita. Siapa yang akan memisahkan kita daripada kasih Kristus? Kekacauan atau kesusahan atau penganiayaan atau kebuluran atau ketelanjangan atau bahaya atau pedang? Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari; Kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.” Tidak! Dalam semua hal ini kita lebih daripada para penakluk melalui Dia yang mengasihi kita. Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.

ROMA 8:26-39

ROMA 8:26-39 BMROMA 8:26-39 BMROMA 8:26-39 BM