ROMA 8:26-32
ROMA 8:26-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia. Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain?
ROMA 8:26-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Dan dŭmkian lagi Roh itu pun mŭnulong akan kalŭmahan kita, kŭrna tiada kita kŭtahui apakah yang handak kita bŭrdoa dŭngan spatutnya, mŭlainkan Roh itu sŭndiri mŭmohonkan akan ganti kita dŭngan mŭngŭrang yang tiada dapat dibunyikan. Adapun Tuhan yang mŭnyŭlidek akan sagala hati itu, dikŭtahuinyalah akan kahandak Roh itu, sŭbab iya tulong mŭmohonkan kŭrna orang orang suchi itu spŭrti yang dikahandaki Allah. Maka kami mŭngtahui, bahwa sagala pŭrkara bŭkŭrja bŭrsama sama akan mŭndatangkan kŭbajikan kapada orang orang yang mŭngasihi Allah, iyaani kapada marika itu yang tŭlah dipileh itu sŭkŭdar kahandak Allah. Adapun orang yang tŭlah dikŭtahui tŭrdahulu itu, maka marika itulah ditakdirkannya akan mŭnjadi sŭrupa tauladan anaknya, supaya iya mŭnjadi anak sulong diantara saudara saudara yang banyak itu. Tambahan pula orang yang tŭlah ditakdirkannya itu, maka iyalah juga yang dipileh; maka orang orang yang dipilehnya itu, maka iyalah juga yang dibŭnarkannya, dan orang yang dibŭnarkannya itulah juga dipŭrmuliakannya. Maka apakah garangannya yang handak kita katakan atas sagala pŭrkara ini? Adapun jikalau Allah ada bŭrsŭrta dŭngan kita, siapakah yang dapat mŭlawan kita? Adapun Allah yang tiada sayang akan Anaknya sŭndiri, mŭlainkan disŭrahkannya dia akan ganti kita skalian; bŭtapa kiranya Tuhan tiada akan mŭmbri bŭrsama sama dŭngan Anaknya sagala pŭrkara kapada kita dŭngan kŭmewahannya?
ROMA 8:26-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikian jugalah, Roh menolong kita dalam kelemahan kita. Kita tidak tahu apa yang patut kita doakan, tetapi Roh itu sendiri berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata. Dan Dia yang menyoroti hati kita tahu akan fikiran Roh, kerana Roh berdoa syafaat bagi pihak orang yang salih menurut kehendak Allah. Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya. Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya, maka Anak itu merupakan yang sulung di antara saudara yang ramai. Dan orang yang ditentukan Allah dari mulanya dahulu dipanggil-Nya; orang yang dipanggil-Nya itu diperbenar-Nya; orang yang diperbenar-Nya itu dipermulia-Nya pula. Jadi, apakah yang akan kita katakan sebagai sambutan kepada hal ini? Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita? Dia tidak mengecualikan Anak-Nya sendiri, tetapi menyerahkan-Nya untuk kita semua. Oleh itu, tidakkah Dia, bersama Anak-Nya itu, juga akan memberikan segala-galanya kepada kita dengan rela?