ROMA 8:14-21
ROMA 8:14-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Roh yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu tidak memperhamba kamu, sehingga kamu hidup dalam ketakutan. Sebaliknya Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah, dan dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah “Bapa, ya Bapaku!” Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah. Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya. Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita. Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah.
ROMA 8:14-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna sŭbrapa orang yang dipimpin ulih Roh Allah itu, iya itulah anak anak Allah adanya. Kŭrna kamu tiada mŭnŭrima roh tawanan lagi, supaya kamu mŭnjadi takot pula, mŭlainkan kamu tŭlah mŭnŭrima roh anak angkat, maka sŭbab itulah kamu bŭrsru, Abba, ya Ayah. Maka Roh itu sŭndiri juga mŭnjadi saksi bŭrsama sama dŭngan roh kita, bahwa kita skalian ini kanak kanak Allah adanya. Adapun jikalau kiranya kita ini kanak kanak, bahwa kita pun warith warithlah, iya itu warith warith Allah, dan warith yang bŭrskutu dŭngan Almasih; maka jikalau kiranya kita mŭnanggong sŭngsara bŭrsama sama dŭngan dia, maka kita pun kŭlak akan dipŭrmuliakan juga bŭrsama sama. Kŭrna pada sangkaku, adapun sŭngsara yang ada pada masa ini tiadalah layak dibandingkan dŭngan kŭmuliaan yang akan dinyatakan pada kita itu. Kŭrna harap dŭngan yakin deripada makhlok itu mŭnantikan kŭnyataan sagala kanak kanak Allah. Kŭrna makhlok itu tŭlah ta’loklah kapada sia sia adanya, bukannya dŭngan sŭngajanya, mŭlainkan tŭrsŭbab ulih Tuhan yang tŭlah mŭna’lokkan iya kapada harap itu. Kŭrna makhlok itu sŭndirinya pun akan dilŭpaskan deripada tawanan kabinasaan itu masok kapada kŭmuliaan bibas kanak kanak Allah.
ROMA 8:14-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.” Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah. Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak. Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. Seluruh ciptaan menanti-nantikan saatnya Allah menyerlahkan anak-anak-Nya. Kerana seluruh ciptaan telah ditundukkan dalam kebuntuan, bukan dengan pilihannya sendiri, tetapi dengan kehendak Dia yang telah menundukkannya, dengan harapan bahawa ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan dan dibawa ke dalam kebebasan penuh kemuliaan anak-anak Allah.