ROMA 8:1-5
ROMA 8:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian. Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa. Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah.
ROMA 8:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka sŭbab itulah skarang tiada lagi kŭsalahan bagie orang yang ada dalam Isa Almasih, yang tiada mŭnurotkan hawa nafsu itu, mŭlainkan mŭnurot kahandak Roh adanya. Kŭrna hukum Roh yang mŭmbri hidop itu yang ada dalam Isa Almasih itu tŭlah mŭmbibaskan aku deripada hukum dosa dan kŭmatian. Kŭrna barang pŭrkara yang tiada dapat dipŭrbuat ulih tauret itu, sŭbab lŭmahlah iya ulih kŭrna hawa nafsu itu, maka Allah tŭlah mŭnyurohkan Anaknya sŭndiri dŭngan rupa tuboh manusia yang bŭrdosa itu, deri kŭrna dosa itu, dihukumkan dosa dituboh manusia. Supaya kabŭnaran tauret itu bulih digŭnapkan dalam kita yang tiada mŭnurot hawa nafsu itu, mŭlainkan mŭnurot kahandak Roh. Kŭrna orang yang mŭnurot hawa nafsu itu, iya mŭngindahkan sagala pŭrkara hawa nafsu itu; tŭtapi orang yang mŭnurot kahandak Roh itu, maka iya mŭngindahkan sagala pŭrkara Roh adanya.
ROMA 8:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian. Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa. Allah berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya, mengikut kehendak Roh dan bukan mengikut kehendak sifat tabii. Bagi orang yang hidup menurut sifat tabii yang berdosa, fikirannya tertumpu kepada apa yang diingini oleh sifat tabii itu; tetapi bagi orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh.