ROMA 8:1-11

ROMA 8:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian. Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa. Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah. Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian. Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah. Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Allah. Tetapi kamu tidak lagi hidup menurut tabiat manusia. Kamu hidup menurut kehendak Roh Allah - jika Roh Allah menguasai hidup kamu. Sesiapa tidak mempunyai Roh Kristus, orang itu bukan milik Kristus. Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, walaupun badan kamu akan mati kerana dosa. Hal itu demikian kerana kamu sudah berbaik semula dengan Allah. Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu.

ROMA 8:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sŭbab itulah skarang tiada lagi kŭsalahan bagie orang yang ada dalam Isa Almasih, yang tiada mŭnurotkan hawa nafsu itu, mŭlainkan mŭnurot kahandak Roh adanya. Kŭrna hukum Roh yang mŭmbri hidop itu yang ada dalam Isa Almasih itu tŭlah mŭmbibaskan aku deripada hukum dosa dan kŭmatian. Kŭrna barang pŭrkara yang tiada dapat dipŭrbuat ulih tauret itu, sŭbab lŭmahlah iya ulih kŭrna hawa nafsu itu, maka Allah tŭlah mŭnyurohkan Anaknya sŭndiri dŭngan rupa tuboh manusia yang bŭrdosa itu, deri kŭrna dosa itu, dihukumkan dosa dituboh manusia. Supaya kabŭnaran tauret itu bulih digŭnapkan dalam kita yang tiada mŭnurot hawa nafsu itu, mŭlainkan mŭnurot kahandak Roh. Kŭrna orang yang mŭnurot hawa nafsu itu, iya mŭngindahkan sagala pŭrkara hawa nafsu itu; tŭtapi orang yang mŭnurot kahandak Roh itu, maka iya mŭngindahkan sagala pŭrkara Roh adanya. Kŭrna mŭngikot hawa nafsu itu, iya itu mati adanya; tŭtapi mŭnurot Roh itulah hidop dan slamat adanya. Kŭrna hawa nasu itulah bŭrsŭtru kapada Allah, kŭrna iya itu tiada ta’alok kapada hukum Allah, skali kali pun ta’bulih. Dŭmkian adanya orang yang mŭnurot hawa nafsu pun tiada bulih mŭnyukakan Allah. Tŭtapi kamu ini bukannya dalam hawa nafsu itu, mŭlainkan dalam Roh, jikalau kiranya Roh Allah itu ada diam dalam kamu; maka barang siapa yang tiada padanya Roh Almasih, maka bukanlah iya milek Almasih. Dan jikalau kiranya Almasih itu ada dalam kamu, maka tuboh itu matilah sŭbab dosa, tŭtapi nyawa itu hidoplah juga adanya sŭbab kabŭnaran. Tŭtapi jikalau Roh Tuhan yang mŭmbangkitkan Isa deripada mati ada diam dalam kamu, maka iya yang mŭmbangkitkan Almasih deripada mati itu juga kŭlak mŭnghidopkan tuboh kamu yang fana itu dŭngan rohnya yang ada diam dalam kamu.

ROMA 8:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian. Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa. Allah berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya, mengikut kehendak Roh dan bukan mengikut kehendak sifat tabii. Bagi orang yang hidup menurut sifat tabii yang berdosa, fikirannya tertumpu kepada apa yang diingini oleh sifat tabii itu; tetapi bagi orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh. Fikiran yang dikuasai oleh sifat tabii yang berdosa, adalah kematian. Tetapi fikiran yang dikuasai oleh Roh, adalah kehidupan dan kesejahteraan. Fikiran sifat tabii yang berdosa memusuhi Allah kerana fikiran demikian tidak tunduk kepada hukum Allah dan tidak dapat berbuat demikian. Orang yang dikawal oleh sifat tabii yang berdosa tidak berupaya mendapat keredaan Allah. Tetapi kamu dikawal bukan oleh sifat tabii yang berdosa tetapi oleh Roh, jika Roh Allah hidup dalam dirimu. Dan jika seseorang tidak ada Roh Kristus, dia bukanlah milik Kristus. Sebaliknya jika Kristus ada dalam dirimu, tubuhmu mati kerana dosa, namun rohmu hidup kerana perbenaran. Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu.

ROMA 8:1-11

ROMA 8:1-11 BMROMA 8:1-11 BMROMA 8:1-11 BM