ROMA 7:1-25

ROMA 7:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku, tentu kamu faham akan apa yang hendak aku katakan, kerana kamu semua memahami hukum. Seseorang berada di bawah kekuasaan hukum, hanya selama dia masih hidup. Seorang wanita yang bersuami, umpamanya, terikat oleh hukum kepada suaminya hanya selama suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya meninggal, wanita itu bebas daripada hukum yang mengikatnya kepada suaminya. Jika wanita itu hidup dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina. Tetapi jika suaminya meninggal, dari segi hukum, wanita itu sudah bebas. Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina. Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita. Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian. Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah. Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Taurat itu jahat? Tentu tidak! Tetapi Tauratlah yang menyebabkan aku tahu akan dosa. Jika Taurat tidak mengatakan, “Jangan tamak akan harta orang,” aku tidak tahu akan ketamakan. Melalui hukum itu, dosa mendapat peluang untuk membangkitkan pelbagai ketamakan dalam diriku. Jika tidak ada hukum agama, dosa tidak berkuasa. Dahulu aku hidup tanpa hukum agama. Tetapi apabila aku mengetahui hukum itu, dosa mula berkuasa dan aku pun mati. Hukum yang seharusnya menyebabkan aku hidup, malahan mendatangkan kematian. Melalui hukum, dosa mendapat peluang untuk menipu dan membunuh aku. Taurat berasal daripada Allah, dan setiap hukum berasal daripada Allah, maka setiap hukum adil dan baik. Adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik menyebabkan kematianku? Tentu tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dengan menggunakan yang baik, dosa menyebabkan kematianku, supaya nyatalah sifat-sifat dosa. Melalui hukum, terbuktilah betapa jahatnya dosa. Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bukan aku yang melakukannya, melainkan dosa yang menguasai diriku. Oleh itu aku mendapati hukum ini berlaku: Apabila aku mahu melakukan yang baik, yang jahat sahaja menjadi pilihanku. Batinku suka akan hukum daripada Allah. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku. Beginilah keadaanku: aku mentaati hukum Allah dengan akal budi sahaja, sedangkan tabiatku sebagai manusia mengikut hukum dosa. Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian? Aku bersyukur kepada Allah; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!

ROMA 7:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA tiadakah kamu mŭngŭtahui hie sagala saudaraku, kŭrna aku bŭrkata ini kapada orang yang mŭngtahui akan hukum, bŭtapa hukum itu mŭna’lokkan orang dalam sa’umor hidopnya. Kŭrna pŭrampuan yang ada bŭrswami itu, maka iya itu tŭlah tŭrikat ulih hukum kapada swaminya dalam sa’umor hidopnya; tŭtapi jikalau swaminya itu mati, maka pŭrampuan itu pun tŭrurielah deripada hukum swaminya itu. Dan dŭmkian juga jikalau pŭrampuan itu kahwen kapada orang lain slagi hidop swaminya, maka iya itu disŭbut orang akan dia sa’orang pŭrampuan bŭrzinah adanya; tŭtapi jikalau swaminya itu sudah mati, maka pŭrampuan itu tŭrurielah deripada hukum itu; maka bukannya iya bŭrzinah jikalau iya kahwen kapada orang lain skalipun. Shahadan dŭmkianlah saudara saudaraku kamu pun tŭlah mŭnjadilah spŭrti mati kapada tauret ulih sŭbab kŭmatian tuboh Almasih, supaya kamu bulih kahwen kapada sa’orang lain, mŭski pun kapada orang yang dibangkitkan deripada mati, supaya kamu bulih mŭmbawa buah buahan kapada Allah. Kŭrna tŭtkala kita lagi dalam hawa nafsu dunia, maka gŭrak gŭrak dosa yang bŭrbangkit ulih sŭbab tauret itu mŭngŭrjakan dalam anggota anggota kita, supaya mŭndatangkan buah buahan kapada kŭmatian. Tŭtapi skarang kita tŭlah tŭrurielah deripada tauret, sŭbab kita tŭlah mati kapada tŭmpat kita tŭlah tŭrikat itu, supaya kita bŭrbuat bakti dŭngan hal Roh yang bahru, dan bukannya dŭngan hal hurof yang lama itu. Apakah garangan yang handak dikatakan, tauret itukah dosa? Dijauhkan Allah. Bahkan, aku tiada mŭngtahui akan dosa itu, mŭlainkan ulih tauret; kŭrna tiada aku mŭngtahui akan nafsu jahat itu, jikalau tiada tauret kata, Janganlah angkau loba. Tŭtapi dosa itu tŭlah bŭrulih kwasa deripada hukum Allah itu, maka iyalah mŭngadakan sagala jŭnis nafsu jahat dalam diriku, kŭrna kalau tiada tauret itu, maka dosa itu tŭlah mati. Kŭrna aku adalah hidop pada suatu masa dŭngan tiada tauret, tŭtapi tŭtkala hukum Allah datang, maka dosa itu tŭlah sŭgarlah, tŭtapi aku mati. Adapun hukum Allah itu yang mŭndatangkan hidop, kudapati akan dia itu mŭndatangkan mati. Kŭrna apabila dosa itu bŭrulih kwasa deripada hukum Allah, maka ditipunyalah akan daku, dan dŭngan hukum itu juga aku dibunohnya. Maka dŭmkianlah tauret itu suchi, dan hukum itu pun suchi dan adil, lagi baik adanya. Kalau bŭgitu, adakah yang baik itu mŭndatangkan mati kapadaku? Dijauhkan Allah. Mŭlainkan dosa supaya dapat dinyatakan, dosalah itu yang mŭndatangkan mati dalam diriku ulih sŭbab pŭrkara yang baik itu, supaya dosa itu dŭngan kwasa hukum itu mŭnjadikan dia itu tŭrlebih bŭsar dosa adanya. Kŭrna kita tŭlah mŭngtahui, adapun tauret itu deri pada rohani adanya, tŭtapi kaadaanku ini deripada hawa nafsu sahja sudah tŭrjual kŭbawah kwasa dosa. Adapun pŭrkara yang aku buat itu tiada kupŭrkŭnankan dia, kŭrna pŭrkara yang kuhandak, tiada kupŭrbuat, mŭlainkan kupŭrbuat pŭrkara yang kubŭnchi juga. Jikalau kupŭrbuat pŭrkara yang tiada kusukai akan dia, maka mŭngakulah aku tauret itu bŭnar adanya. Maka skarang pun bukannya aku yang bŭrbuat pŭrkara itu, mŭlainkan dosa yang ada diam dalamku bŭrbuat itu. Kŭrna tŭlah kukŭtahui, bahwa dalam diriku, iya itu dalam nafsu tubohku, tiada barang apa yang baik, kŭrna niat itu adalah sŭdia padaku; tŭtapi bagimanakah mŭmbuat pŭrkara yang baik itu tiadalah aku dapati. Kŭrna baik yang aku kahandaki itu tiada aku bŭrbuat, tŭtapi jahat yang tiada kukahandaki itulah kupŭrbuat. Adapun jikalau aku bŭrbuat pŭrkara yang tiada aku kahandaki itu, maka iya itu bukannya aku yang bŭrbuat itu, mŭlainkan dosa yang ada dalam dirikulah bŭrbuat itu. Maka sŭbab itu aku tŭlah mŭndapat satu hukum, tŭtkala aku handak bŭrbuat baik, maka jahat itu adalah hampir padaku. Kŭrna aku bŭrsuka sukalah pada hukum Allah mŭnurot pri tabiat yang baik. Tŭtapi aku mŭlihat ada pula suatu hukum yang lain didalam anggota anggotaku, yang bŭrprang mŭlawan iya akan hukum tabiatku yang baik itu, sŭrta mŭmbawa akan daku tawanan, iya itu kapada hukum dosa yang ada dalam anggota anggotaku. Hie chilakanya aku ini, siapakah kŭlak akan mŭlŭpaskan aku deripada tuboh kŭmatian ini? Aku mŭnguchap shukorlah kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kami, maka dŭngan hal yang dŭmkianlah aku ini mŭnurot akan hukum Allah dŭngan niat yang baik itu, tŭtapi dŭngan nafsu jahat itu mŭnurot hukum dosa.

ROMA 7:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tidakkah kamu tahu, saudara-saudaraku — kerana aku sedang berkata-kata kepada orang yang mengetahui hukum Taurat — bahawa hukum itu berkuasa atas seseorang hanya selagi dia masih hidup? Misalnya, menurut hukum, seorang perempuan yang berkahwin terikat kepada suaminya hanya selagi suaminya itu masih hidup, tetapi jika suaminya mati, perempuan itu dibebaskan daripada hukum perkahwinan. Oleh itu, jika dia berkahwin dengan lelaki lain ketika suaminya masih hidup, perempuan itu dipanggil penzina. Tetapi jika suaminya mati, perempuan itu bebas daripada hukum tersebut dan bukanlah penzina sekiranya dia berkahwin dengan lelaki lain. Oleh itu, saudara-saudaraku, kamu juga telah mati kepada hukum Taurat melalui tubuh Kristus, supaya kamu menjadi milik kepada yang lain, iaitu kepada Dia yang telah dibangkitkan daripada kematian, dan dengan demikian kita dapat menghasilkan buah kepada Allah. Kerana dahulu ketika kita dikawal oleh sifat tabii yang berdosa, hawa nafsu berdosa yang ditimbulkan oleh hukum telah bekerja dalam tubuh kita, sehingga kita menghasilkan buah untuk kematian. Tetapi sekarang, kita telah mati kepada apa yang membelenggu kita dahulu, maka kita telah dibebaskan daripada hukum untuk berkhidmat dalam cara baru Roh, tidak lagi dalam cara lama yang berasaskan peraturan bersurat. Jadi, apakah yang akan kita katakan? Adakah hukum itu dosa? Sama sekali tidak! Memang aku tidak mungkin tahu apa itu dosa kecuali melalui hukum. Kerana aku tidak mungkin tahu apa sebenarnya keinginan jahat jika hukum tidak mengatakan, “Jangan ingini milik orang.” Tetapi dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu menimbulkan dalam diriku segala jenis keinginan jahat. Kerana tanpa hukum, dosa tidak wujud. Satu masa dahulu, aku hidup tanpa hukum; tetapi apabila datang perintah itu, hiduplah dosa dan matilah aku. Aku mendapati bahawa perintah yang dimaksudkan membawa kehidupan itu telah membawa kematian. Kerana dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu memperdayaku, dan melalui perintah itu telah menjerumuskanku ke dalam kematian. Jadi, hukum itu suci, dan perintah itu suci, benar serta baik. Maka adakah sesuatu yang baik itu menjadi kematian kepadaku? Sama sekali tidak! Tetapi, supaya dosa dikenal sebagai dosa, dosa telah menimbulkan kematian dalam diriku melalui sesuatu yang baik; dengan demikian, melalui perintah itu, dosa dapat menjadi dosa sepenuhnya. Kita tahu bahawa hukum bersifat rohani; tetapi aku tidak bersifat rohani, aku telah dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci. Dan jika aku melakukan apa yang tidak mahu kulakukan, aku setuju bahawa hukum itu baik. Nyatalah bahawa bukan aku yang melakukannya, tetapi dosa yang hidup dalam diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik dalam hidup diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya. Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan — itulah yang kulakukan terus-menerus. Jika aku melakukan sesuatu yang tidak ingin kulakukan, bukanlah lagi aku yang melakukannya tetapi dosa yang hidup dalam dirikulah yang melakukan. Oleh itu, aku mendapati hukum ini berlangsung; apabila aku hendak melakukan kebaikan, kejahatan bertapak di sisiku. Kerana dalam jiwaku aku suka akan hukum Allah tetapi aku melihat hukum lain bertindak dalam anggota-anggota tubuhku, memerangi hukum jiwaku dan membuat aku terpenjara dalam hukum dosa yang bertindak dalam anggota-anggota tubuhku. Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini? Syukur kepada Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita! Oleh itu, dalam jiwaku aku mengabdi kepada hukum Allah, tetapi dalam sifat tabii yang berdosa aku mengabdi kepada hukum dosa.