ROMA 6:15-23

ROMA 6:15-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Apakah kesimpulannya sekarang? Bolehkah kita berdosa, kerana kita sekarang hidup di bawah rahmat Allah dan tidak di bawah kuasa Taurat? Tentu tidak! Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Allah yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Allah. Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi sekarang dengan sepenuh hati kamu mentaati ajaran benar yang sudah diberikan kepada kamu. Kamu sudah dibebaskan daripada dosa, lalu menjadi hamba kepada kehendak Allah. Kerana kamu susah memahami sesuatu, aku menggunakan contoh perhambaan. Dahulu kamu menyerahkan segenap diri kamu sebagai hamba kepada hal-hal keji dan jahat untuk tujuan yang jahat. Demikian juga sekarang kamu harus menyerahkan segenap diri sebagai hamba kepada kehendak Allah untuk tujuan-tujuan-Nya yang khas. Pada waktu kamu diperhamba oleh dosa, kamu tidak dikuasai oleh kehendak Allah. Tetapi apakah faedah yang kamu terima daripada perbuatan yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu? Perbuatan-perbuatan itu hanya mengakibatkan kematian! Tetapi sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa, dan menjadi hamba Allah. Faedahnya berupa kehidupan yang diabdikan kepada Allah dan hal ini menghasilkan hidup sejati dan kekal. Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.

ROMA 6:15-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Apatah kŭlak, patutkah kita bŭrdosa, ulih sŭbab bukannya kita dibawah tauret, mŭlainkan dibawah anugrah? Dijauhkan Allah. Maka tiadakah kamu kŭtahui, bahwa kamulah hamba kapada barang siapa yang kamu mŭnyŭrahkan dirimu akan mŭnurotkan kahandaknya? baik kapada dosa, akan mŭmbawa kapada kŭmatian, baik kapada kŭbaktian, akan mŭmbawa kapada kabŭnaran. Tŭtapi shukorlah juga kapada Allah, maka sungguh pun kamu tŭlah mŭnjadi hamba dosa, tŭtapi kamu sudah mŭnurotkan juga dŭngan sungguh sungguh hatimu akan tauladan pŭngajaran yang tŭlah dibri kapadamu itu. Maka sŭbab skarang kamu tŭlah dimŭrdehkakan deri pada dosa itu, maka kamu tŭlah mŭnjadi hamba bagie kabŭnaran. Adapun aku bŭrkata ini mŭnurot adat manusia ulih sŭbab kalŭmahan kaadaanmu, kŭrna spŭrti kamu tŭlah mŭnyŭrahkan anggota anggotmu itu akan dipŭrhamba ulih nŭjis dan kŭjahatan akan mŭmbuat kŭjahatan, maka dŭmkianlah juga skarang ini sŭrahkanlah anggota anggotamu akan dipŭrhamba ulih kabŭnaran kapada kasuchian. Kŭrna apabila kamu mŭnjadi hamba hamba dosa, maka kamu tŭlah tŭrlŭpas deri pada kabŭnaran. Maka tŭtkala itu apatah buah buahan yang kamu pŭrulih deripada pŭrkara yang kamu malu pada skarang ini? kŭrna kŭsudahannya sagala pŭrkara itu mŭndatangkan mati adanya. Tŭtapi skarang apabila tŭrlŭpaslah deripada dosa, dan mŭnjadi hamba hamba kapada Allah, maka kamu akan bŭrulih buah buahan kapada kasuchian, maka kŭsudahannya kŭlak hidoplah slama lamanya. Kŭrna upahnya dosa itulah mati adanya; tŭtapi anugrah Allah itulah hidop slama lamanya dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kami.

ROMA 6:15-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak! Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati — sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran. Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu. Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada perbenaran. Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada perbenaran yang membawa kepada penyucian. Sewaktu kamu diperhamba dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan perbenaran. Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian. Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal. Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.