ROMA 6:1-16

ROMA 6:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Jika demikian, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus-menerus berbuat dosa supaya rahmat Allah semakin bertambah? Tentu tidak! Dosa tidak lagi berkuasa atas kita. Oleh itu bagaimanakah kita dapat terus-menerus melakukan dosa dalam hidup kita? Tidakkah kamu tahu bahawa pada masa kita dibaptis, kita dipersatukan dengan Kristus Yesus? Hal ini bererti kita dipersatukan dengan kematian-Nya. Dengan baptisan itu, kita dikubur dengan Kristus dan ikut mati bersama-sama Dia, supaya sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian oleh kuasa Bapa yang mulia, kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru. Jika kita sudah dipersatukan dengan Kristus kerana kita ikut mati dengan Dia, maka kita akan dipersatukan dengan Dia juga kerana kita ikut dihidupkan semula seperti Dia. Kita tahu bahawa tabiat kita yang lama sudah disalibkan bersama-sama Kristus, supaya kuasa tabiat kita yang berdosa itu dimusnahkan, dan kita tidak akan diperhamba oleh dosa lagi. Hal itu demikian, kerana apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa. Jika kita sudah mati bersama-sama Kristus, kita percaya bahawa kita pun akan hidup bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana kita tahu bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. Kematian Kristus itu kematian terhadap dosa. Perkara itu berlaku satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Tetapi hidup-Nya sekarang adalah hidup bagi Allah. Kamu juga harus menganggap diri kamu mati terhadap dosa, tetapi hidup erat dengan Allah melalui Kristus Yesus. Janganlah biarkan dosa menguasai hidup kamu yang fana, supaya kamu tidak mengikut keinginan hati yang jahat. Janganlah serahkan sebarang anggota tubuh kamu kepada kuasa dosa untuk digunakan bagi tujuan yang jahat. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Allah sebagai orang yang dahulunya mati, tetapi sekarang telah dihidupkan oleh Allah. Serahkanlah segenap diri kamu kepada Allah supaya Allah boleh menggunakan kamu untuk melakukan kehendak-Nya. Dosa tidak boleh menguasai kamu, kerana kamu tidak lagi hidup di bawah Taurat, tetapi hidup di bawah rahmat Allah. Apakah kesimpulannya sekarang? Bolehkah kita berdosa, kerana kita sekarang hidup di bawah rahmat Allah dan tidak di bawah kuasa Taurat? Tentu tidak! Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Allah yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Allah.

ROMA 6:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

APAKAH handak kita katakan, patutkah kita slalu dalam dosa, supaya anugrah itu bulih bŭrlempah? Dijauhkanlah Allah. Maka bŭtapakah kiranya kita ini yang tŭlah mati kapada dosa itu handak hidop lagi lama dalamnya? Maka tiadakah kamu kŭtahui, bahwa bŭbrapa deripada kita yang tŭlah dibaptisakan kapada Isa Almasih, iya itu tŭlah dibaptisakan kapada kŭmatiannya? Maka sŭbab itulah kita tŭlah ditanamkan bŭrsama sama dŭngan dia ulih baptisan kapada kŭmatian: kŭrna spŭrti Almasih itu dibangkitkan deri pada kŭmatiannya ulih kŭmuliaan Ayah itu, maka dŭmkian juga kita pun patutlah mŭlakukan diri dalam kahidopan yang bahru. Kŭrna jikalau kita sudah ditanamkan bŭrsama sama dalam turotan kŭmatiannya, maka kita pun kŭlak akan jadi turotan kŭbangkitannya. Sŭbab kita tŭlah mŭngtahui, bahwa tabiat kita yang lama itu tŭlah disalibkan dŭngan Almasih, supaya tuboh dosa itu bulih dibinasakan, maka kumdian kŭlak tiada lagi kita dipŭrhambakan ulih dosa adanya. Kŭrna orang yang tŭlah mati itu, maka iya itu tŭlah mŭrdehka deripada dosa. Adapun jikalau kita tŭlah mati bŭrsama sama dŭngan Almasih, maka kita pŭrchaya bahwa kita pun kŭlak hidop pula bŭrsama sama dŭngan dia. Sŭbab kita mŭngŭtahui, bahwa Almasih yang tŭlah dibangkitkan deripada kŭmatiannya itu, tiadalah akan mati lagi, bahwa kŭmatian itu tiada lagi bulih mŭna’alokkan dia. Kŭrna derihal iya tŭlah mati itu, skali sahja dia mati sŭbab dosa; tŭtapi derihal hidopnya pun, maka hidoplah iya kŭrna Allah. Lagi pun handaklah kamu kirakan dirimu sŭndiri pun spŭrti mati sungguh kapada dosa, tŭtapi hidop pula kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kita. Maka sŭbab itulah jangan kamu biarkan dosa itu dipŭrtuan dalam dirimu yang fana itu, sahingga sampie kamu mŭnurotkan hawa nafsu dosa itu. Dan lagi jangan pula kamu sŭrahkan anggota anggotamu kapada dosa itu spŭrti pŭrkakasan kapada kŭjahatan, hanya sŭrahkanlah dirimu kapada Allah spŭrti orang orang yang tŭlah hidop deripada mati, dan anggota anggotamu itu pun kapada Allah spŭrti pŭrkakasan kabŭnaran adanya. Bahwa dosa itu tiada akan bulih mŭna’lokkan kamu, kŭrna bukannya kamu dibawah tauret, mŭlainkan dibawah anugrah Allah. Apatah kŭlak, patutkah kita bŭrdosa, ulih sŭbab bukannya kita dibawah tauret, mŭlainkan dibawah anugrah? Dijauhkan Allah. Maka tiadakah kamu kŭtahui, bahwa kamulah hamba kapada barang siapa yang kamu mŭnyŭrahkan dirimu akan mŭnurotkan kahandaknya? baik kapada dosa, akan mŭmbawa kapada kŭmatian, baik kapada kŭbaktian, akan mŭmbawa kapada kabŭnaran.

ROMA 6:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah. Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya? Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang dibaptiskan dalam Kristus Yesus telah dibaptiskan ke dalam kematian-Nya? Melalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru. Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa. Jika kita telah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga. Kerana kita tahu bahawa oleh sebab Kristus telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah. Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus. Oleh itu, jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana. Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat perbenaran. Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia. Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak! Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati — sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran.