ROMA 5:6-17

ROMA 5:6-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Semasa kita dalam keadaan tidak berdaya, Kristus mati pada masa yang ditetapkan oleh Allah untuk menyelamatkan kita, orang yang jahat. Susahlah orang mahu mati bagi orang yang mentaati hukum agama. Mungkin ada orang yang bersedia mati bagi orang yang baik hati. Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa. Melalui kematian Kristus, kita sekarang berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita pasti akan diselamatkan oleh Kristus daripada kemurkaan Allah kelak. Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup. Bukan itu sahaja; kita pun bersukacita kerana apa yang sudah dilakukan oleh Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui Kristus, kita sekarang dijadikan sahabat-sahabat Allah. Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa. Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan. Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah. Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian. Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus. Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan “Bersalah”. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, “Tidak bersalah!” Memang betul bahawa melalui satu orang itu, maut mula berkuasa kerana dosa satu orang itu. Tetapi lebih besar lagi hal yang dicapai oleh satu orang lain, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia, Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada banyak orang, dan dengan anugerah-Nya mereka dapat berbaik semula dengan Allah, serta akan hidup dan berkuasa melalui Kristus.

ROMA 5:6-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna tŭtkala kita lagi tiada bŭrkwasa, maka pada waktu yang tŭntu, Almasih tŭlah mati mŭnggantikan orang bŭrdosa, Kŭrna jaranglah sa’orang pun yang mahu mati akan ganti sa’orang yang bŭnar itu, tŭtapi barang kali ada juga yang brani mati ganti sa’orang yang baik. Tŭtapi tŭlah dinyatakan Allah kasihnya bagie kita tŭtkala kita lagi orang bŭrdosa, maka Almasih tŭlah mati akan ganti kita. Istimewa pula skarang kita sŭbab dibŭnarkan ulih darahnya, maka kita kŭlak akan dilŭpaskan deripada morka Allah dŭngan bŭrkatnya. Kŭrna jikalau tŭtkala kita lagi bŭrsŭtru, maka kita dipŭrdamiekan kapada Allah ulih kŭmatian Anaknya itu, istimewa pula ulih sŭbab kita tŭlah dipŭrdamiekan, maka kita kŭlak akan mŭndapat slamat ulih hidopnya. Dan bukannya dŭmkian itu sahja, mŭlainkan kita bŭrgŭmarlah pula kapada Allah dŭngan bŭrkat Isa Almasih Tuhan kita, maka ulih sŭbabnyalah skarang kita sudah bŭrulih pŭrdamiean. Adapun sŭbab itu ulih sa’orang, dosa sudah masok kŭdalam dunia, dan kŭmatian itu datang sŭbab dosa; maka dŭmkian lagi kŭmatian itu mŭlalui atas sagala manusia, sŭbab skaliannya tŭlah bŭrdosa adanya. Maka sampielah kapada zaman datang tauret dosa itu sudah ada dalam dunia, tŭtapi dosa itu tiadalah ditanggongkan sŭbŭlom ada tauret. Akan tŭtapi kŭmatian itu tŭlah mŭnjadi pŭrtuanan, iya itu deripada zaman Adam sampie kapada zaman Musa, mŭskipun atas orang yang tiada bŭrbuat dosa mŭnurot pri kŭsalahan Adam pun, iyalah suatu tuladan bagie sa’orang yang akan datang. Tŭtapi bukannya spŭrti kŭsalahan Adam itu, dŭmkian pula pŭmbrian yang murah itu, kŭrna jikalau ulih sŭbab kŭsalahan sa’orang, banyak orang mati, istimewa pula anugrah Allah, sŭrta dŭngan pŭmbrian ulih anugrah yang datang deri pada sa’orang, iya itu Isa Almasih, sudah mŭliputi kapada kŭbanyakkan orang. Maka bukannya spŭrti sa’orang yang tŭlah bŭrdosa itu, dŭmkian pula pŭmbrian itu pun, kŭrna hukum itu tŭlah datang ulih sŭbab suatu salah akan diseksakan; akan tŭtapi pŭmbrian yang murah itulah datang deri sŭbab banyak kŭsalahan akan dibŭnarkan. Kŭrna jikalau sŭbab kŭsalahan sa’orang, kŭmatian itu mŭnjadi pŭrtuanan ulih sŭbab sa’orang itu, istimewa pula orang orang yang bŭrulih banyak anugrah dan pŭmbrian kabŭnaran itu kŭlak akan dipŭrtuan dalam slamat kŭkal ulih sŭbab sa’orang, iya itu Isa Almasih.

ROMA 5:6-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq. Jarang sekali seseorang mahu mati untuk orang yang benar, meski untuk orang yang baik mungkin ada yang sanggup mati. Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita. Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya. Kerana jika semasa kita seteru Allah, kita telah didamaikan dengan-Nya melalui kematian Anak-Nya, lebih-lebih lagilah, setelah didamaikan, kita akan diselamatkan melalui kehidupan-Nya! Bukan ini sahaja, tetapi kita juga bersukacita dalam Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya kita telah menerima pendamaian. Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa. Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada. Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang. Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Yesus Kristus, melimpahi manusia yang banyak! Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran. Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian perbenaran yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Yesus Kristus.