ROMA 3:20-25
ROMA 3:20-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang.
ROMA 3:20-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itulah dŭngan amal tauret itu tiadalah barang sa’orang jua pun akan dibŭnarkan dihadapan Allah, kŭrna pŭngŭtahuan dosa itu datangnya deripada tauret. Tŭtapi skarang kabŭnaran Allah dŭngan tiada tauret itu tŭlah dinyatakan, dan adalah disaksikan pula ulih tauret dan surat sagala nabi nabi. Mŭski pun kabŭnaran Allah ulih sŭbab iman akan Almasih, iya itu datang kapada skalian orang, dan atas skalian orang yang pŭrchaya, kŭrna tiadalah pŭrbethaannya. Kŭrna skaliannya itu tŭlah bŭrbuat dosa, dan tiada bŭrulih kŭmuliaan Allah. Ulih sŭbab dibŭnarkan skaliannya smata mata dŭngan anugrah deripada bŭrkat tŭbusan yang ada dalam Isa Almasih. Yang tŭlah ditŭntukan Allah akan mŭnjadi korban dŭngan bŭrkat iman akan darahnya, supaya dinyatakannya kabŭnaran Allah itu dŭngan mŭngampuni dosa yang tŭlah lalu, deri kŭrna sabar Allah adanya.
ROMA 3:20-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu. Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka.