ROMA 3:10-19
ROMA 3:10-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah.
ROMA 3:10-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa tiada sa’orang jua pun yang bŭnar, tidak, sa’orang pun tidak. Maka tiada sa’orang jua pun yang mŭngarti, dan tiada sa’orang jua pun yang mŭnuntut Allah. Maka skaliannya tŭlah sŭsat deripada jalan; maka sagala marika itu bulat bulat mŭnjadi sia sialah; maka sa’orang jua pun tiada yang bŭrbuat baik, sa’orang pun tidak. Adapun kŭrongkongan marika itulah suatu kubor yang tŭrbuka adanya, maka dŭngan lidahnya iya tŭlah mŭmakie tipu, dan bisa ular ada dibawah bibernya. Maka mulotnya pun pŭnoh dŭngan laanat dan kŭkotoran. Maka kakinya pun pantas handak mŭnumpahkan darah. Dan pada jalan marika itu adalah kabinasaan dan chilaka. Maka tiadalah dikŭtahui ulih marika itu akan jalan slamat. Ta’dalah barang sŭdikit jua pun takot akan Allah dalam hati marika itu. Bahwa kami skaranglah tŭlah mŭngŭtahui barang apa yang dikatakan ulih tauret, maka dikatakannya itu kapada orang yang dibawah prentah tauret, supaya tŭrsumbat tiap tiap mulot, dan supaya sŭgŭnap dunia disalahkan pada halrat Allah.
ROMA 3:10-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebagaimana tersurat: “Tiada yang benar, seorang pun tidak. Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah. Semuanya telah berpaling, semuanya tidak berguna; tiada yang berbuat baik, tiada seorang pun. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka. Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan. Kaki mereka cepat menumpahkan darah. Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata, sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka. Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka.” Kita tahu bahawa segala yang tersurat dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu, tiada siapa pun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah.