ROMA 3:1-31

ROMA 3:1-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Jika demikian, adakah keuntungannya menjadi orang Yahudi? Adakah faedahnya bersunat? Tentu banyak faedahnya! Pada mulanya Allah mengamanahkan firman-Nya kepada orang Yahudi. Tetapi bagaimana halnya jika sebahagian daripada orang Yahudi tidak setia? Adakah kerana hal itu Allah menjadi tidak setia? Tentu tidak! Allah sentiasa benar, walaupun setiap orang berdusta. Sebagaimana yang tertulis di dalam Alkitab, “Apabila Engkau berfirman, setiap orang pasti tahu bahawa Engkau benar; apabila Engkau dituduh, Engkau sentiasa menang.” Tetapi jika kejahatan kita menjadikan keadilan Allah semakin nyata, apakah yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil apabila Dia menghukum kita? (Di sini aku bercakap secara manusia.) Sekali-kali tidak! Jika Allah tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini? Jika perbuatanku yang tidak benar, menyebabkan apa yang benar tentang Allah semakin nyata, sehingga Dia dipermuliakan, mengapa aku disalahkan sebagai orang berdosa? Mengapa kita tidak berkata, “Marilah kita lakukan kejahatan supaya timbul kebaikan”? Sebenarnya ada beberapa orang yang menghina aku dengan tuduhan bahawa aku mengatakan demikian. Allah akan menghukum mereka dengan sepatutnya. Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita tidak mempunyai apa pun yang dapat kita banggakan! Mengapa demikian? Adakah kerana kita mentaati Taurat? Tidak, tetapi kerana kita percaya. Kesimpulannya begini: seseorang berbaik semula dengan Allah, kerana dia percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana dia melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat. Adakah Allah itu Allah orang Yahudi sahaja? Tentu tidak. Dia Allah orang bukan Yahudi juga! Allah hanya satu. Dia memungkinkan orang Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. Dia juga yang memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. Adakah hal ini bererti bahawa kerana kita percaya kepada Yesus Kristus, kita boleh memansuhkan Taurat? Tentu tidak! Sebaliknya kita mendukung Taurat.

ROMA 3:1-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA jikalau dŭmkian itu, apakah kalŭbihannya orang Yahudi, atau apakah faidahnya sunat itu? Sŭlŭbih lŭbihnya iya itu pŭrtama tama, sŭbab fŭrman Allah tŭlah disŭrahkan kapada marika itu. Maka jikalau sŭtŭngah marika itu tiada pŭrchaya skali pun, maka bulihkah dia mŭrosakkan sŭtia Tuhan itu sŭbab dia tiada pŭrchaya? Dijauhkan Allah: bahwa Allah itu bŭnarlah adanya, akan tŭtapi tiap tiap manusia sahja bohong; spŭrti yang tŭrsurat, Supaya angkaulah dapat dibŭnarkan dalam pŭrkataanmu, dan bŭrulih kŭmŭnangan tŭtkala angkau disalahkan. Tŭtapi jikalau kŭsalahan kita mŭnyatakan kaadilan Allah itu, bagimanakah kata kita, maka adakah Allah itu salah apabila iya mŭnuntut balas? aku bŭrkata ini spŭrti kata orang. Dijauhkan Allah: kŭrna jikalau kiranya bŭgitu, bŭtapakah Allah mŭnghukumkan sagala isi alam ini? Kŭrna jikalau kiranya kabŭnaran Allah itu bŭrtambah tambah kŭmuliaannya sŭbab bohongku, maka mŭngapa pula aku dihukumkan spŭrti orang yang bŭrdosa? Bukankah baik spŭrti digagahkan orang dŭngan mŭngumpat kami, dan spŭrti orang lain pula mŭngatakan, kami bŭrkata, Biarlah kita bŭrbuat jahat, supaya mŭndatangkan baik, chilakanya itu kŭlak bŭnar adanya. Bŭtapakah skarang, adakah kita tŭrlebih baik deripada orang orang itu? Tidak, skali kali pun tidak; kŭrna kita tŭlah bŭrsaksikan dahulu, baik kapada orang Yahŭdi, baik kapada orang sŭsat, bahwa skaliannya ada dibawah kwasa dosa adanya. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa tiada sa’orang jua pun yang bŭnar, tidak, sa’orang pun tidak. Maka tiada sa’orang jua pun yang mŭngarti, dan tiada sa’orang jua pun yang mŭnuntut Allah. Maka skaliannya tŭlah sŭsat deripada jalan; maka sagala marika itu bulat bulat mŭnjadi sia sialah; maka sa’orang jua pun tiada yang bŭrbuat baik, sa’orang pun tidak. Adapun kŭrongkongan marika itulah suatu kubor yang tŭrbuka adanya, maka dŭngan lidahnya iya tŭlah mŭmakie tipu, dan bisa ular ada dibawah bibernya. Maka mulotnya pun pŭnoh dŭngan laanat dan kŭkotoran. Maka kakinya pun pantas handak mŭnumpahkan darah. Dan pada jalan marika itu adalah kabinasaan dan chilaka. Maka tiadalah dikŭtahui ulih marika itu akan jalan slamat. Ta’dalah barang sŭdikit jua pun takot akan Allah dalam hati marika itu. Bahwa kami skaranglah tŭlah mŭngŭtahui barang apa yang dikatakan ulih tauret, maka dikatakannya itu kapada orang yang dibawah prentah tauret, supaya tŭrsumbat tiap tiap mulot, dan supaya sŭgŭnap dunia disalahkan pada halrat Allah. Maka sŭbab itulah dŭngan amal tauret itu tiadalah barang sa’orang jua pun akan dibŭnarkan dihadapan Allah, kŭrna pŭngŭtahuan dosa itu datangnya deripada tauret. Tŭtapi skarang kabŭnaran Allah dŭngan tiada tauret itu tŭlah dinyatakan, dan adalah disaksikan pula ulih tauret dan surat sagala nabi nabi. Mŭski pun kabŭnaran Allah ulih sŭbab iman akan Almasih, iya itu datang kapada skalian orang, dan atas skalian orang yang pŭrchaya, kŭrna tiadalah pŭrbethaannya. Kŭrna skaliannya itu tŭlah bŭrbuat dosa, dan tiada bŭrulih kŭmuliaan Allah. Ulih sŭbab dibŭnarkan skaliannya smata mata dŭngan anugrah deripada bŭrkat tŭbusan yang ada dalam Isa Almasih. Yang tŭlah ditŭntukan Allah akan mŭnjadi korban dŭngan bŭrkat iman akan darahnya, supaya dinyatakannya kabŭnaran Allah itu dŭngan mŭngampuni dosa yang tŭlah lalu, deri kŭrna sabar Allah adanya. Maka iya itu akan mŭnyatakan pada masa ini kabŭnaran Allah, supaya Allah mŭnjadi adil, dan yang mŭmbŭnarkan akan orang yang pŭrchaya akan Isa. Bahwa manatah kamŭgahan itu skarang? iya itu tŭlah tŭrta’lok dŭngan hukum manakah? dŭngan hukum amalkah? Bukan, mŭlainkan dŭngan hukum iman. Maka sŭbab itulah kami tŭntukan, bahwa manusia itu dibŭnarkan dŭngan iman, bukannya dŭngan amal tauret. Allah itu Allah orang Yahudi sahjakah, dan bukannyakah orang sŭsat pun? Iya orang sŭsat pun punya. Tampaknya Allah suatu juga yang akan mŭmbŭnarkan orang yang bŭrsunat itu sŭbab iman, dan orang yang tiada bŭrsunat itu pun sŭbab iman. Maka jikalau dŭmkian itu, kita mŭnolakkankah tauret itu ulih subab iman? Dijauhkan Allah: bahkan, kita mŭndirikan akan tauret.

ROMA 3:1-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, apakah kelebihan seorang Yahudi, dan apakah manfaat persunatan? Sungguh banyak dalam segala hal! Terutamanya kerana Firman Allah dipercayakan kepada mereka. Jika sesetengah mereka tidak beriman, adakah ini menjadikan kesetiaan Allah tidak berkesan? Sama sekali tidak! Allah tetap benar biarpun setiap manusia itu pembohong. Sebagaimana tersurat: “Supaya Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan akan menang apabila Engkau dihakimi.” Tetapi jika kemungkaran kita menunjukkan perbenaran Allah, apa yang harus kita katakan? Adakah Allah tidak adil menimpakan kemurkaan-Nya? (Aku bercakap sebagai seorang manusia.) Sama sekali tidak! Kerana jika demikian, bagaimana Allah dapat menghakimi dunia! Jika kebenaran Allah bertambah kerana aku mendustai kemuliaan-Nya, mengapa aku tetap dihakimi sebagai orang berdosa? Dan mengapa tidak dikatakan, “Mari kita berbuat jahat supaya hasilnya baik.” Demikian orang memfitnahkan kita berkata dan sesetengahnya menegaskan bahawa kita berkata begitu. Hukuman atas mereka itu memang wajar. Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, semuanya berada di bawah kuasa dosa. Sebagaimana tersurat: “Tiada yang benar, seorang pun tidak. Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah. Semuanya telah berpaling, semuanya tidak berguna; tiada yang berbuat baik, tiada seorang pun. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka. Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan. Kaki mereka cepat menumpahkan darah. Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata, sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka. Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka.” Kita tahu bahawa segala yang tersurat dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu, tiada siapa pun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah. Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu. Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Yesus. Dengan demikian, apakah yang dapat dibanggakan? Tidak ada sama sekali! Adakah melalui ketaatan akan hukum Taurat? Tidak, tetapi melalui iman. Kerana kami yakin bahawa manusia diperbenar atas iman kepada Yesus Kristus, bukan kerana dia mengamalkan apa yang diwajibkan oleh hukum Taurat. Atau adakah Allah itu Tuhan orang Yahudi sahaja? Pasti tidak. Dia Tuhan bangsa-bangsa lain juga. Allah itu esa. Dia memperbenar orang yang bersunat melalui iman mereka. Demikian juga Dia memperbenar orang yang tidak bersunat melalui iman mereka. Maka adakah kita memansuhkan hukum Taurat dengan iman? Sama sekali tidak! Malah kita menegakkan Taurat.