ROMA 2:12-29

ROMA 2:12-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan binasa, tetapi mereka tidak dihukum menurut Taurat. Orang Yahudi mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan dihukum berdasarkan Taurat. Hal itu demikian, kerana orang berbaik semula dengan Allah, bukan dengan mendengar Taurat, tetapi dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat. Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat. Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu, kerana fikiran mereka kadangkala menyalahkan dan kadangkala membenarkan perbuatan mereka. Oleh itu, menurut Berita Baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada Hari Kiamat apabila melalui Yesus Kristus, Allah akan menghakimi segala rahsia hati dan fikiran manusia. Bagaimana dengan kamu sendiri? Kamu mengaku kamu orang Yahudi. Kamu bergantung kepada Taurat Musa dan membanggakan hubungan kamu dengan Allah. Kamu mengetahui kehendak Allah, dan dengan mempelajari Taurat kamu sepatutnya tahu memilih apa yang baik. Kamu yakin bahawa kamulah pemimpin orang buta dan kamu cahaya kepada mereka yang dalam kegelapan. Kamu pendidik kepada orang yang bodoh, dan guru kepada orang yang belum matang. Kamu yakin bahawa di dalam Taurat, kamu mempunyai segala pengetahuan dan ajaran yang benar. Kamu mengajar orang lain, tetapi mengapa kamu tidak mengajar diri sendiri? Kamu berkata, “Jangan mencuri” - tetapi mengapa kamu sendiri mencuri? Kamu berkata, “Jangan berzina” - tetapi mengapa kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapa kamu merompak rumah berhala? Kamu bangga kerana memiliki Taurat, tetapi mengapa kamu mempermalukan Allah dengan tidak mentaati perintah-Nya? Di dalam Alkitab tertulis, “Kerana kamu, orang Yahudi, Allah dikufuri oleh orang bukan Yahudi.” Jika kamu taat kepada Taurat, sunat kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu tidak mematuhi Taurat, sunat kamu itu sia-sia. Jika orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, mematuhi Taurat, tidakkah Allah akan menganggap mereka sebagai orang yang bersunat? Oleh itu kamu orang Yahudi akan disalahkan oleh orang bukan Yahudi, kerana kamu yang mempunyai kitab Taurat dan yang bersunat, melanggar Taurat. Sedangkan mereka yang tidak bersunat, taat kepada Taurat. Siapakah orang Yahudi sejati yang betul-betul bersunat? Mereka bukanlah orang yang pada nama sahaja orang Yahudi dan yang bersunat secara lahir sahaja. Sebaliknya orang Yahudi sejati adalah orang yang berjiwa Yahudi dan hati mereka bersunat. Semua itu dilakukan oleh Roh Allah dan bukan oleh apa yang tertulis di dalam Taurat. Orang seperti itu menerima pujian daripada Allah, bukan daripada manusia.

ROMA 2:12-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna bŭbrapa orang yang tŭlah mŭmbuat dosa dŭngan tiada bŭrtauret, maka marika itu akan dibinasakan pun dŭngan tiada bŭrtauret; dan bŭbrapa yang sudah bŭrbuat dosa dŭngan ada bŭrtauret, maka marika itulah akan dihukumkan ulih tauret. Kŭrna bukannya orang yang mŭuŭngar tauret itu dibŭnarkan dihadapan Allah, mŭlainkan orang yang mŭnuret tauret kŭlak akan dibŭnarkan. Kŭrna apabila orang sŭsat yang tiada bŭrtauret bŭrbuat dalam tabiatnya sŭndiri akan pŭrkara yang didalam tauret itu, maka marika itu kalau tiada bŭrtauret skalipun, mŭnjadikan spŭrti tauret bagie dirinya. Maka marika itu mŭnyatakan, bahwa pŭrbuatan tauret itu sudah tŭrsurat dalam hatinya, maka angan angan hatinya mŭnjadi pula saksi, dan sangka sangkanya pada masa itu juga mŭnudohkan, atau mŭnguzorkan akan dirinya. Pada hari tŭtkala dihukumkan Allah akan sagala rahsia manusia ulih Isa Almasih mŭnurot Injilku. Bahwa sŭsungguhnya angkaulah disŭbot orang Yahudi, dan angkau bŭrgantong kapada tauret, dan angkau mŭmŭgahkan dirimu kŭrna Allah itu. Maka angkau inilah mŭngtahui akan kahandaknya, dan angkau tahu pŭrbethaan diantara lainnya yang tŭrlebih mulia, sŭbab diajari ulih tauret. Dan tŭlah pŭrchayai, bahwa angkaulah sŭndiri sa’orang yang mŭmimpin orang yang buta, dan mŭnŭrangkan orang yang dalam gŭlap. Dan yang mŭngajar kapada orang bodoh, dan guru kapada kanak kanak, sŭrta bŭrulih tuladan dan pŭngŭtahuan, dan kabŭnaran dalam tauret itu. Maka sŭbab itulah hie orang yang mŭngajar pada orang lain, adakah angkau mŭngajar dirimu sŭndiri? Hie orang yang mŭngatakan, janganlah orang mŭnchuri, maka tiadakah angkau mŭnchuri? Hie orang yang bŭrkata kata, bahwa janganlah orang bŭrzinah, maka tiadakah angkau bŭrzinah? Hie orang yang mŭmbŭnchi bŭrhala, tiadakah angkau mŭnchuri barang yang suchi itu? Hie orang yang mŭmŭgahkan dirimu ada bŭrtauret, maka tiadakah angkau mŭnghinakan Allah dŭngan mŭlalui akan tauret? Maka nama Allah dihujatkan diantara orang sŭsat, ulih sŭbab kamu juga, spŭrti yang tŭlah tŭrsurat: Kŭrna sŭsungguhnya sunat itu mŭndatangkan kŭbajikan jikalau angkau mŭmliharakan tauret, tŭtapi jikalau angkau mŭlalui akan tauret itu, bahwa sunatmu itu mŭnjadi spŭrti tiada bŭrsunat. Maka jikalau orang yang tiada disunatkan itu mŭmliharakan tauret, maka bukankah iya itu dibilangkan spŭrti orang yang bŭrsunat juga adanya? Maka adapun hal orang yang tiada disunatkan itu jiaklau iya mŭnggŭnapi akan tauret, maka bukankah iya akan mŭnyalahkan dikau yang mŭlalui akan tauret, ulih sŭbab ada bŭrtauret dan bŭrsunat? Kŭrna orang itu bukannya orang Yahudi yang pada lahirnya sahja, dan bukannya pun sunat itu yang lahir pada daging sahja. Mŭlainkan iya itu sa’orang orang Yahudi yang deri pada batin, dan sunat yang deri pada hati, dan yang deripada Roh; maka bukannya deripada sunat sahja, dan pujiannya itu bukannya deripada manusia, mŭlainkan deripada Allah.

ROMA 2:12-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat. Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat. Sebabnya orang yang benar di mata Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya. Apabila orang bukan orang Israel, yang tidak mempunyai hukum Taurat, secara tabii melakukan perkara-perkara yang terkandung dalam hukum Taurat, maka mereka ini adalah hukum bagi diri mereka sendiri. Hukum itu tersurat dalam hati mereka dan hati nurani mereka juga naik saksi. Fikiran mereka menuduh atau membela mereka, pada hari Allah menghakimi segala rahsia manusia melalui Kristus Yesus, menurut Injil yang kuberitakan. Kamu memanggil dirimu orang Yahudi, dan bergantung kepada hukum Taurat serta berbangga kerana hubunganmu dengan Allah. Kamu mengetahui kehendak-Nya, dan menyokong segala yang baik, kerana kamu telah diajarkan hukum Taurat. Kamu yakin bahawa kamulah yang memimpin orang buta, yang menerangi orang dalam kegelapan, yang mengajar orang bodoh, yang mengasuh anak kecil, kerana kamu mempunyai garis-garis ilmu dan kebenaran dalam hukum Taurat. Dengan demikian, kamu yang mengajar orang lain, tidakkah kamu mengajar diri sendiri? Kamu yang berkhutbah melarang orang mencuri, adakah kamu sendiri mencuri? Kamu yang berkata, “Jangan berzina,” adakah kamu melakukan zina? Kamu yang membenci berhala, adakah kamu merompak tempat ibadat? Kamu yang berbangga dengan hukum Taurat, adakah kamu menghina Allah dengan melanggar hukum itu? “Nama Allah dikufuri dalam kalangan bangsa asing akibat perbuatanmu” — demikianlah yang telah tersurat. Persunatan memang bermanfaat jika kamu taat akan hukum Taurat; tetapi sekiranya kamu melanggar hukum Taurat, batallah persunatan itu. Oleh yang demikian, jika seorang yang tidak bersunat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam hukum Taurat, tidakkah dia dikira sebagai telah bersunat? Jika orang tidak bersunat mematuhi hukum Taurat, tidakkah dia menghakimi kamu kerana walaupun kamu mempunyai hukum bertulis dan persunatan namun kamu melanggar hukum itu? Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani. Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah dalam hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.