ROMA 14:1-5
ROMA 14:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi. Ada orang yang berpendirian bahawa mereka boleh makan apa sahaja, tetapi orang yang lemah keyakinannya hanya makan sayur-sayuran. Orang yang makan apa sahaja tidak boleh menghina orang yang makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak boleh menyalahkan orang yang makan apa sahaja, kerana Allah sudah menerima dia. Siapakah kamu sehingga kamu mahu menyalahkan hamba orang lain? Hanya tuannya yang berhak menentukan baik tidaknya kerja hamba itu. Sesungguhnya hamba itu akan berjaya melakukan kerjanya, kerana Tuhan menolong dia. Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih mustahak daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Hendaklah setiap orang yakin akan pendiriannya.
ROMA 14:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka handaklah kamu sambut akan orang yang lŭmah imannya, tŭtapi janganlah dŭngan pŭrbantahan yang mŭndatangkan shak. Kŭrna ada iman sa’orang yang bulih mŭmakan sagala pŭrkara, dan ada pula iman orang lain yang lŭmah makan sayur sayuran. Maka janganlah orang yang mŭmakan itu mŭngŭjikan orang yang tiada makan; dan janganlah pula orang yang tiada mŭmakan itu mŭnyalahkan orang yang mŭmakan, kŭrna Allah sudah pŭrkŭnankan dia. Siapakah angkau yang mŭnyalahkan hamba orang lain? maka dihadapan tuannya sŭndiri iya bŭrdiri atau jatoh, bahkan iya itu akan disukongkan juga, kŭrna Allah itu bŭrkwasa akan mŭndirikan dia. Maka ada orang yang mŭngindahkan satu hari lebih deripada hari yang lain; maka ada orang lain pula mŭngindahkan skalian hari itu sama. Maka biarlah masing masing mŭnjadi tŭtap skali dŭngan hatinya sŭndiri.
ROMA 14:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan. Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran. Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia. Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri. Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya.