ROMA 14:1-13

ROMA 14:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi. Ada orang yang berpendirian bahawa mereka boleh makan apa sahaja, tetapi orang yang lemah keyakinannya hanya makan sayur-sayuran. Orang yang makan apa sahaja tidak boleh menghina orang yang makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak boleh menyalahkan orang yang makan apa sahaja, kerana Allah sudah menerima dia. Siapakah kamu sehingga kamu mahu menyalahkan hamba orang lain? Hanya tuannya yang berhak menentukan baik tidaknya kerja hamba itu. Sesungguhnya hamba itu akan berjaya melakukan kerjanya, kerana Tuhan menolong dia. Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih mustahak daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Hendaklah setiap orang yakin akan pendiriannya. Sesiapa yang mengutamakan hari-hari tertentu, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Sesiapa yang makan apa sahaja, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan, kerana dia bersyukur kepada Allah bagi makanan itu. Sesiapa yang hanya makan makanan tertentu, juga menghormati Tuhan dan bersyukur kepada Allah. Tidak seorang pun di kalangan kita yang hidup atau mati bagi dirinya sendiri. Jika kita hidup, kita hidup untuk Tuhan. Jika kita mati, kita pun mati untuk Tuhan. Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Tuhan. Kristus mati dan hidup semula supaya Dia menjadi Tuhan kepada orang hidup dan orang mati juga. Oleh itu, mengapa kamu menyalahkan saudara kamu? Mengapa kamu yang lain menghina saudara kamu? Kita semua akan menghadap Allah untuk diadili. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesungguhnya,” firman Tuhan, “tiap-tiap orang akan sujud di hadapan-Ku, dan tiap-tiap orang akan mengaku bahawa Aku Allah.” Oleh itu, kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Allah. Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa.

ROMA 14:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka handaklah kamu sambut akan orang yang lŭmah imannya, tŭtapi janganlah dŭngan pŭrbantahan yang mŭndatangkan shak. Kŭrna ada iman sa’orang yang bulih mŭmakan sagala pŭrkara, dan ada pula iman orang lain yang lŭmah makan sayur sayuran. Maka janganlah orang yang mŭmakan itu mŭngŭjikan orang yang tiada makan; dan janganlah pula orang yang tiada mŭmakan itu mŭnyalahkan orang yang mŭmakan, kŭrna Allah sudah pŭrkŭnankan dia. Siapakah angkau yang mŭnyalahkan hamba orang lain? maka dihadapan tuannya sŭndiri iya bŭrdiri atau jatoh, bahkan iya itu akan disukongkan juga, kŭrna Allah itu bŭrkwasa akan mŭndirikan dia. Maka ada orang yang mŭngindahkan satu hari lebih deripada hari yang lain; maka ada orang lain pula mŭngindahkan skalian hari itu sama. Maka biarlah masing masing mŭnjadi tŭtap skali dŭngan hatinya sŭndiri. Adapun orang yang mŭngindahkan hari itu, maka iya mŭngindahkan itu bagie Tuhan; dan orang yang tiada mŭngindahkan hari itu, maka iya tiada mŭngindahkan itu bagie Tuhan. Adapun orang yang makan, maka iya makan itu akan mŭmuliakan Tuhan, kŭrna iya mŭnguchap shukor kapada Allah; maka orang yang tiada makan itu, tiadalah iya makan akan mŭmuliakan Tuhan, maka iya pun mŭnguchap shukor juga kapada Allah. Kŭrna tiadalah sa’orang jua pun deripada kita yang hidop kŭrna dirinya sŭndiri, dan tiada pula sa’orang pun yang mati kŭrna dirinya sŭndiri. Maka jikalau kita hidop, kita hidop kŭrna Tuhan, dan jikalau kita mati pun, kita mati kŭrna Tuhan; maka sŭbab itu baik hidop, baik mati, mŭlainkan kita ini milik Tuhan adanya. Maka sŭbab inilah juga Almasih itu tŭlah mati, dan bangkit, dan hidop pula, supaya iya mŭnjadi Tuhan baik kapada orang yang mati, baik kapada orang yang hidop. Tŭtapi mŭngapa angkau mŭnyalahkan saudaramu, atau mŭngapa angkau kŭjikan saudaramu? kŭrna kita sŭmua ini kŭlak bŭrdiri dihadapan takhta hukum Almasih. Kŭrna sudah tŭrsurat, Bahwa fŭrman Tuhan, Aku ini hidop, bahwa sagala lutot akan tundok padaku, dan sagala lidah akan mŭngaku kapada Allah. Dŭmkianlah tiap tiap sa’orang deripada kita kŭlak akan mŭmbri kira kira derihal dirinya sŭndiri kapada Allah. Maka sŭbab itu janganlah kiranya kita mŭngirakan sa’orang akan sa’orang, mŭlainkan tŭrutama kirakanlah pŭrkara ini, iya itu supaya jangan sa’orang pun mŭmbubohkan batu tŭrantok, atau barang sa’suatu yang munjatohkan saudaranya dijalannya.

ROMA 14:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan. Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran. Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia. Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri. Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya. Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah. Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang hidup bagi diri sendiri, dan tiada seorang pun dalam kalangan kita yang mati bagi diri sendiri. Jika kita hidup, kita hidup bagi Tuhan; dan jika kita mati, kita mati bagi Tuhan. Oleh itu, baik kita hidup mahupun mati, kita ialah milik Tuhan. Kristus mati dan bangkit lalu hidup semula untuk menjadi Tuhan kepada yang mati dan yang hidup. Mengapakah kamu menghakimi saudaramu? Dan mengapa kamu menghina saudaramu? Kita semua akan berdiri di hadapan takhta penghakiman Allah. Kerana telah tersurat: “Demi Aku yang hidup.” Tuhan berfirman, “Setiap orang akan bertekuk lutut di hadapan-Ku; dan setiap lidah akan mengaku kepada Allah.” Nyatalah bahawa setiap orang daripada kita akan dipertanggungjawabkan memberi pernyataan tentang dirinya kepada Allah. Oleh itu, janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh.