ROMA 13:1-7
ROMA 13:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah - bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai.
ROMA 13:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA handaklah tiap tiap orang ta’alok kŭbawah sagala kwasa yang lŭbih bŭsar, kŭrna tiadalah barang kwasa mŭlainkan deripada Allah; maka adapun sagala kwasa yang ada itu, iya itulah yang tŭlah ditŭntukan ulih Allah. Maka sŭbab itulah barang siapa yang mŭlawan akan kwasa itu, sŭrasa iya mŭlawan pŭrkara yang ditŭntukan Allah itu; adapun orang orang yang mŭlawan itu kŭlak akan mŭnŭrima bagie dirinya hukuman. Kŭrna pŭmrentah pŭmrentah itu tiada mŭndatangkan sa’suatu kŭtakotan kapada pŭrbuatan yang baik, mŭlainkan kapada yang jahat. Maka angkau pun tiadakah juga handak takot akan kwasa itu? Maka pŭrbuatlah akan pŭrkara yang baik, supaya angkau kŭlak bŭrulih kŭpujian deripada itu. Bahwa adapun pŭmrentah itu surohan Allah kapadamu derihal yang baik; tŭtapi jikalau angkau bŭrbuat pŭrkara yang jahat, maka takot ulihmu, kŭrna iya mŭmŭgang pŭdang itu bukannya dŭngan sia sia, kŭrna iyalah surohan Allah, dan sa’orang pŭmbalas yang akan mŭndatangkan morka atas orang yang bŭrbuat jahat itu. Maka sŭbab itu patutlah kamu ta’alok, bukannya kŭrna morka sahja, mŭlainkan kŭrna angan angan hati pun. Maka sŭbab itu handaklah kamu mŭmbayar chukie pun, kŭrna marika itu surohan Allah yang sŭntiasa mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan itulah juga. Maka sŭbab itu bayarlah kapada sagala orang yang patut mŭmpunyai, chukie itu kapada yang patut mŭmpunyai, bia kapada yang patut mŭmpunyai, dan takot kapada yang patut ditakoti, hormat kapada yang patut dihormati.
ROMA 13:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang peraturan Allah, dan sesiapa yang menentang membawa hukuman ke atas dirinya. Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat. Oleh itu tunduklah, bukan hanya kerana takut dimurkai Allah tetapi juga kerana menurut hati nuranimu sendiri. Dengan sebab itu jugalah kamu harus membayar cukai. Pemerintah ialah penjawat yang ditugaskan Allah untuk mengendalikan hal itu. Oleh itu, bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak: Sekiranya cukai, bayarlah cukai; sekiranya hasil, bayarlah hasil. Dan takutilah orang yang patut ditakuti, dan hormatilah orang yang patut dihormati.