ROMA 12:6-12
ROMA 12:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar. Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita. Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik. Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa.
ROMA 12:6-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab ada anugrah bŭrlain lainan kapada kita, sŭkŭdar anugrah yang dikurniakan kapada kita, baik deri pada pŭngajaran ilham, biarlah kita mŭngajar kŭdar sŭbanyak iman kita; Baik deripada bŭrkhodmat, biarlah kita mŭlakukan khodmat kita; baik deripada orang yang mŭngajar, biarlah iya mŭngajar; Atau orang yang mŭmbri nasihat, biarlah iya mŭnasihatkan; dan orang yang mŭmbri sŭdŭkah, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan hati tulos; dan orang yang mŭmrentahkan, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan rajin; dan orang yang mŭnunjokkan kamurahan, biarlah dŭngan suka hatinya. Biarlah kasih itu ada dŭngan ekhlas; maka bŭnchikanlah akan pŭrkara yang jahat itu, dan mŭlŭkatlah kapada pŭrkara yang baik. Maka handaklah kiranya kamu bŭrkasih sayang sa’orang dŭngan sa’orang dŭngan kasih bagie saudara, sŭrta mŭndahului sa’orang mŭmbri hormat akan sa’orang. Janganlah kamu bŭrlalie dalam pŭkŭrjaan; biarlah hatimu rajin sŭrta bŭrbakti kapada Tuhan. Maka tŭrmasalah dŭngan harap, dan sabarlah dalam kasusahan; dan usahakanlah sŭntiasa dalam minta doa.
ROMA 12:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita; kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran. Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita. Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan. Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan; jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan. Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa.