ROMA 12:1-12

ROMA 12:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah. Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah - iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna. Kerana kurnia Allah yang sudah dianugerahkan-Nya kepadaku, aku menasihati kamu semua: Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya, tetapi nilailah diri masing-masing dengan rendah hati menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah, kerana kamu percaya kepada Yesus. Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. Begitu juga halnya dengan kita. Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh. Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar. Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita. Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik. Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa.

ROMA 12:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA sŭbab itulah hie sagala saudaraku, aku pintalah kapadamu deri kŭrna sagala rahmat Allah, supaya kamu pŭrsŭmbahkan tubohmu akan mŭnjadi korban yang hidop, dan suchi, dan yang dipŭrkŭnankan Allah, kŭrna itulah ibadatmu yang layak. Dan janganlah angkau mŭnurot pŭkŭrti orang isi dunia, hanya handaklah kamu ubahkan dirimu dŭngan mŭmbahrui ingatanmu, supaya kamu bulih mŭnilik akan kahandak Allah yang baik, dan yang dipŭrkŭnankannya, dan yang samporna itu. Adapun dŭngan bŭrkat anugrah yang tŭlah dikurniakan padaku, maka aku bŭrkata kapada masing masing kamu, janganlah iya mŭnyangkakan dirinya tŭrlebih deripada yang patut, mŭlainkan sangkakanlah dŭngan suman sŭkŭdar iman yang dibahgikan Allah kapada masing masing orang. Kŭrna spŭrti dalam suatu tuboh adalah banyak anggota, tŭtapi sagala anggota itu tiada sama pŭkŭrjaannya. Maka dŭmkianlah adanya kita yang banyak itu pun suatu juga tuboh, iya itu dalam Almasih, dan tiap tiap kami ini deri anggota sa’oranglah pada sa’orang. Maka sŭbab ada anugrah bŭrlain lainan kapada kita, sŭkŭdar anugrah yang dikurniakan kapada kita, baik deri pada pŭngajaran ilham, biarlah kita mŭngajar kŭdar sŭbanyak iman kita; Baik deripada bŭrkhodmat, biarlah kita mŭlakukan khodmat kita; baik deripada orang yang mŭngajar, biarlah iya mŭngajar; Atau orang yang mŭmbri nasihat, biarlah iya mŭnasihatkan; dan orang yang mŭmbri sŭdŭkah, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan hati tulos; dan orang yang mŭmrentahkan, biarlah dipŭrbuatnya dŭngan rajin; dan orang yang mŭnunjokkan kamurahan, biarlah dŭngan suka hatinya. Biarlah kasih itu ada dŭngan ekhlas; maka bŭnchikanlah akan pŭrkara yang jahat itu, dan mŭlŭkatlah kapada pŭrkara yang baik. Maka handaklah kiranya kamu bŭrkasih sayang sa’orang dŭngan sa’orang dŭngan kasih bagie saudara, sŭrta mŭndahului sa’orang mŭmbri hormat akan sa’orang. Janganlah kamu bŭrlalie dalam pŭkŭrjaan; biarlah hatimu rajin sŭrta bŭrbakti kapada Tuhan. Maka tŭrmasalah dŭngan harap, dan sabarlah dalam kasusahan; dan usahakanlah sŭntiasa dalam minta doa.

ROMA 12:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar. Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna. Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang. Sebagaimana tubuh manusia terdiri daripada beberapa anggota yang berbagai-bagai tugasnya dan bukan semua anggota itu mempunyai tugas yang sama, begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus, dan saling memiliki. Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita; kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran. Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita. Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan. Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan; jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan. Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa.

ROMA 12:1-12

ROMA 12:1-12 BMROMA 12:1-12 BMROMA 12:1-12 BMROMA 12:1-12 BMROMA 12:1-12 BM