ROMA 11:33-36
ROMA 11:33-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Allah! Siapakah dapat menjelaskan keputusan-Nya? Siapakah dapat memahami cara Dia melakukan sesuatu? Di dalam Alkitab tertulis, “Siapakah yang dapat mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat memberikan nasihat kepada-Nya? Siapakah yang pernah memberikan sesuatu kepada Tuhan, sehingga Dia harus memberikan balasan?” Segala sesuatu diciptakan oleh Allah, dan segala sesuatu berasal daripada Dia, dan untuk Dia. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin.
ROMA 11:33-36 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Hie bŭtapa lempah kŭkayaan hikmat, dan pŭngŭtahuan Allah; maka tiadalah dapat tŭrduga sagala hukumnya, dan jalannya pun tiada dapat tŭrslidek. Kŭrna siapakah yang tŭlah mŭngtahui akan hikmat Tuhan, dan siapakah yang tŭlah mŭnjadi mantrinya? Atau siapakah yang tŭlah mŭmbri barang suatu pŭrkara kapada Tuhan dahulu, supaya akan dibalasnya akan dia pula? Kŭrna deripadanya, dan ulihnya, dan kapadanya juga sagala pŭrkara itu asalnya: maka kapadanya juga kŭmuliaan sampie slama lamanya: Amin.
ROMA 11:33-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oh, betapa kaya kebijaksanaan dan pengetahuan Allah! Penghakiman-Nya tidak terduga, dan jalan-jalan-Nya tidak mungkin diselami! “Kerana siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapa yang menjadi penasihat-Nya? Atau siapakah yang pernah memberi-Nya sesuatu, maka Dia harus membalasnya?” Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia. Bagi Allah kemuliaan selama-lamanya. Amin.