ROMA 11:11-36
ROMA 11:11-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka. Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan! Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu. Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka. Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula! Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya. Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi. Oleh itu janganlah kamu hina mereka yang sudah dikerat seperti cabang-cabang itu. Janganlah menjadi sombong! Kamu hanya cabang; cabang tidak memberikan khasiat kepada akar, sebaliknya akar yang memberikan khasiat kepada cabang. Tetapi kamu akan berkata, “Tidakkah cabang-cabang itu dikerat supaya kami dapat dicantum?” Memang betul. Mereka dikerat kerana mereka tidak beriman, tetapi kamu tetap di situ kerana kamu beriman. Janganlah hal itu menyebabkan kamu sombong, tetapi takutlah. Jika orang Yahudi yang seperti cabang-cabang asli, dibenarkan oleh Allah untuk tumbuh terus pada pokok itu, tentu hal yang sama boleh dilakukan-Nya kepada kamu. Di sini kita melihat bahawa Allah baik, tetapi Dia juga mengadili dengan keras. Dia bertindak keras terhadap mereka yang berdosa, tetapi Dia baik hati terhadap kamu asalkan kehidupan kamu layak menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat. Jika orang Yahudi kembali dan percaya, mereka akan dicantum semula ke tempat asal, kerana Allah berkuasa melakukan hal itu. Kamu yang bukan orang Yahudi seperti cabang yang dikerat daripada pokok zaitun liar. Walaupun bertentangan dengan alam semula jadi, kamu dicantum pada pokok zaitun yang dipelihara. Orang Yahudi seperti pokok zaitun yang dipelihara. Oleh itu lebih mudah bagi Allah mengembalikan cabang-cabangnya yang sudah dikerat kepada pokok asal. Saudara-saudaraku! Aku ingin kamu mengetahui suatu kebenaran yang belum diketahui orang. Jika kamu mengetahui perkara itu, kamu tidak akan menganggap diri kamu sangat bijak. Ketahuilah bahawa kedegilan umat Israel itu untuk sementara sahaja; sikap itu berlaku sehingga lengkap bilangan orang bukan Yahudi yang datang kepada Allah. Beginilah semua orang Israel akan diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Penyelamat akan datang dari Sion, Dia akan menghapuskan segala kejahatan keturunan Yakub. Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka, pada waktu Aku mengampunkan dosa mereka.” Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima Berita Baik daripada Allah, mereka menjadi musuh Allah. Tetapi hal itu membawa faedah bagi kamu, orang bukan Yahudi. Tetapi kerana pilihan Allah, orang Yahudi tetap dikasihi oleh Allah, kerana janji Allah kepada nenek moyang mereka. Hal itu demikian kerana Allah tidak mengubah pendirian-Nya tentang orang yang dipilih-Nya dan diberkati-Nya. Dahulu kamu, orang bukan Yahudi tidak taat kepada Allah. Tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan Allah, kerana orang Yahudi tidak taat kepada Allah. Demikian juga halnya dengan orang Yahudi. Kerana kamu sudah menerima belas kasihan Allah, sekarang orang Yahudi tidak taat kepada Allah, supaya mereka pun boleh menerima belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana Allah sudah membiarkan umat manusia menjadi seperti orang tahanan, kerana mereka tidak mentaati Dia. Allah berbuat demikian supaya Dia dapat menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka semua. Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Allah! Siapakah dapat menjelaskan keputusan-Nya? Siapakah dapat memahami cara Dia melakukan sesuatu? Di dalam Alkitab tertulis, “Siapakah yang dapat mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat memberikan nasihat kepada-Nya? Siapakah yang pernah memberikan sesuatu kepada Tuhan, sehingga Dia harus memberikan balasan?” Segala sesuatu diciptakan oleh Allah, dan segala sesuatu berasal daripada Dia, dan untuk Dia. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin.
ROMA 11:11-36 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Baiklah aku kata, Sudahkah marika itu tŭrantok, supaya iya jatoh? Dijauhkan Allah: mŭlainkan dŭngan kŭjatohan marika itulah, maka slamat tŭlah datang kapada orang sŭsat, sŭbab mŭmbangkitkan chŭmbruan bagie orang Israil. Jikalau kiranya kŭjatohan marika itu mŭnjadi kŭkayaan bagie dunia, dan jikalau kŭkorangan marika itu mŭnjadi kŭkayaan bagie orang sŭsat, maka istimewa pula banyaknya. Kŭrna aku bŭrkata padamu hie sagala orang sŭsat, slagi aku mŭnjadi rasol bagie orang sŭsat, maka aku mŭmbŭsarkan jawatanku. Kalau kalau dŭngan sŭbulih bulihnya aku handak mŭmbangkitkan bŭrahi akan marika itu yang sa’daging darahku, supaya bulih mŭmliharakan sŭtŭngah marika itu. Kŭrna jikalau tŭrbuang marika itu mŭnjadi pŭrdamiean bagie orang dunia, maka apakah kŭlak jadi kalau disambut akan dia, mŭlainkan hidop deripada mati? Kŭrna jikalau buah bungaran itu suchi adanya, maka sŭgŭnap isinya pun suchilah; dan jikalau akar itu suchi, maka chabang chabang itu pun suchilah adanya. Kŭrna jikalau barang chabang chabangnya itu dipatahkan, dan angkau yang sa’pohon zieton hutan digŭmbari diantara marika itu, dan angkau pun bŭruntok bŭrsama sama deripada akar dan gŭmoknya zieton itu, Janganlah angkau mŭmŭgahkan dirimu mŭlawan chabang chabang itu; maka jikalau angkau mŭmŭgahkan, maka bukannya angkau yang mŭnanggong akar itu, mŭlainkan akar juga yang mŭnanggong akan dikau. Angkau nanti bŭrkata kŭlak, Bahwa chabang chabang itu tŭlah dipatahkan, supaya aku akan digŭmbari kapadanya. Baiklah, ulih sŭbab marika itu tiada bŭriman dipatahkan, maka angkau bŭrdiri dŭngan iman, janganlah hatimu bŭsar, mŭlainkan takotlah. Kŭrna jikalau tiada disayangi Allah akan chabang chabang asalnya itu, ingatlah baik baik, maka angkau pun kŭlak tiada disayanginya. Maka sŭbab itu lihatlah akan kŭbajikan dan kakŭrasan Allah itu; adapun kakŭrasannya itu kapada orang yang tŭlah jatoh, tŭtapi kŭbajikannya itu kapadamu, jikalau kiranya kamu ada tŭtap dalam kŭbajikannya; maka jikalau tiada, maka kamu pun akan dipatahkannya. Dŭmkianlah juga hal marika itu; jikalau iya tiada tŭtap juga dalam tiada bŭriman, iya itu akan digŭmbari, kŭrna Allah ada bŭrkwasa akan mŭngŭmbari marika itu pula. Kŭrna jikalau angkau dikŭratkan deripada pohon zieton hutan asalnya, dan angkau digŭmbari kŭdalam pohon zieton yang bŭtol mŭlawan tabiatnya, maka istimewa pula akan chabang chabang yang asal itu digŭmbari kapada pohon zietonnya sŭndiri. Hie saudara saudaraku, bukannya kahandakku bahwa biar kamu mŭnjadi bodoh akan rahsia ini, asal jangan kamu mŭnjadi chongkak dalam fikiranmu, iya itu sŭparoh buta tŭlah bŭrlaku kapada orang Israil, sahingga gŭnap bilangan orang sŭsat masok mŭmbawa iman. Dŭngan hal yang dŭmkianlah sagala orang Israil itu akan dipliharakan kŭlak, spŭrti yang tŭlah tŭrsurat: Bahwa kluarlah kŭlak deri Zion Pŭnulong itu, maka iya kŭlak akan munghalaukan kŭjahatan deripada bŭnih Yakob. Kŭrna dŭmkianlah pŭrjanjianku kapada marika itu, sŭtlah habis dihapuskan sagala dosanya. Maka deri sŭbab Injil itulah juga orang Yahudi itu ada bŭrsŭtru kŭrna kamu juga, tŭtapi deri sŭbab hal pilehan itulah, maka marika itu mŭnjadi kŭkasih kŭrna sagala nenek moyang. Kŭrna sagala anugrah dan pilehan Allah itu dŭngan tiada bŭrsŭsalan adanya. Kŭrna spŭrti pada waktu yang tŭlah lalu kamu tiada pŭrchaya akan Allah, akan tŭtapi skarang kamu tŭlah bŭrulih rahmat, ulih sŭbab marika itu tiada bŭriman. Maka dŭmkian lagi skarang marika itu pun tiada juga bŭriman, supaya marika itu pun dŭngan bŭrkat rahmatmu akan bŭrulih rahmat juga. Kŭrna tŭlah ditŭntukan Allah sagala manusia dalam hal tiada bŭriman, supaya Tuhan bulih mŭmbri rahmat atas sŭmua. Hie bŭtapa lempah kŭkayaan hikmat, dan pŭngŭtahuan Allah; maka tiadalah dapat tŭrduga sagala hukumnya, dan jalannya pun tiada dapat tŭrslidek. Kŭrna siapakah yang tŭlah mŭngtahui akan hikmat Tuhan, dan siapakah yang tŭlah mŭnjadi mantrinya? Atau siapakah yang tŭlah mŭmbri barang suatu pŭrkara kapada Tuhan dahulu, supaya akan dibalasnya akan dia pula? Kŭrna deripadanya, dan ulihnya, dan kapadanya juga sagala pŭrkara itu asalnya: maka kapadanya juga kŭmuliaan sampie slama lamanya: Amin.
ROMA 11:11-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, aku bertanya, “Adakah mereka tersandung dan tidak dapat bangun semula?” Sama sekali tidak! Sebaliknya, kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka, penyelamatan telah datang kepada bangsa-bangsa lain untuk membuat Israel iri hati. Tetapi jika pelanggaran Israel bermakna kekayaan bagi dunia, dan kerugian mereka bermakna kekayaan bagi orang bukan orang Israel, betapa bergandanya lagi kekayaan yang akan dibawa oleh ketaatan mereka! Sekarang aku berkata kepadamu, wahai bangsa asing: Oleh sebab aku ini rasul kepada orang bukan orang Israel, aku membesarkan pelayananku dengan harapan dapat menimbulkan iri hati bangsaku sendiri dan menyelamatkan sesetengah mereka. Jika penyingkiran mereka mendatangkan perdamaian bagi seisi dunia, lebih-lebih lagilah kalau mereka diterima semula oleh Allah! Bukankah hal ini seperti hidup kembali selepas mati? Sekiranya gumpalan pertama suci, maka sucilah seluruh adunan. Jika suci akar pokok, maka demikian jugalah cabang-cabangnya. Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu, janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu. Ketika itu kamu akan berkata: “Cabang-cabang itu dipatahkan supaya aku dapat dicantumkan.” Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah. Kerana jika Allah tidak mengampuni cabang-cabang tabii itu, Dia tidak akan mengampunimu juga. Oleh itu, fikirkanlah belas ihsan Allah dan juga kekerasan-Nya; kekerasan kepada mereka yang terjerumus; belas ihsan kepada kamu, asalkan kamu berterusan dalam belas ihsan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dibuangkan. Mereka juga, jika mengubah sikap tidak percaya, akan dicantumkan semula, kerana Allah berupaya berbuat demikian. Kalau kamu yang telah dipotong dari pokok zaitun liar dapat dicantumkan ke pokok zaitun yang baik dan berbeza tabiinya, lebih-lebih lagilah cabang-cabang tabii itu dapat dicantumkan ke pokok zaitunnya sendiri! Saudara-saudaraku, aku tidak mahu kamu jahil tentang rahsia ini, supaya kamu tidak berasa megah: Sebahagian daripada orang Israel telah menjadi keras hati sehingga genap jumlah bangsa asing telah masuk. Kemudian seluruh orang Israel akan diselamatkan, sebagaimana yang telah tersurat: “Penyelamat akan datang dari Sion, dan Dia akan menjauhkan kemungkaran daripada Yakub; Kerana inilah perjanjian-Ku dengan mereka ketika Aku menghapuskan dosa-dosa mereka.” Dari segi Injil, orang Israel dimusuhi keranamu, tetapi dari segi pilihan, mereka dikasihi kerana nenek moyang mereka; kerana kurnia dan panggilan Allah tidak akan ditarik kembali selama-lamanya. Sebagaimana kamu dahulu ingkar kepada Allah namun kini telah mendapat belas kasihan kerana keingkaran mereka, demikian jugalah mereka yang kini telah ingkar, melalui belas kasihan yang kamu peroleh, mereka juga mungkin mendapat belas kasihan. Allah telah mengeraskan hati mereka dalam keingkaran, supaya Dia dapat mengasihani semuanya. Oh, betapa kaya kebijaksanaan dan pengetahuan Allah! Penghakiman-Nya tidak terduga, dan jalan-jalan-Nya tidak mungkin diselami! “Kerana siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapa yang menjadi penasihat-Nya? Atau siapakah yang pernah memberi-Nya sesuatu, maka Dia harus membalasnya?” Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia. Bagi Allah kemuliaan selama-lamanya. Amin.